Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Trump janji 'hapuskan' ISIS sebelum tarik balik askar dari Syria

Seorang senator kanan parti Republican berkata bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berjanji untuk mengekalkan pasukan tentera negara itu di Syria bagi menyelesaikan usaha membanteras kumpulan ISIS.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Trump janji 'hapuskan' ISIS sebelum tarik balik askar dari Syria

Senator kanan parti Republican, Lindsey Graham. (Gambar: Win McNamee/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 31 Dec 2018 11:39AM Dikemas Kini : 31 Dec 2018 11:44AM

WASHINGTON: Seorang senator kanan parti Republican berkata bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berjanji untuk mengekalkan pasukan tentera negara itu di Syria bagi menyelesaikan usaha membanteras kumpulan ISIS.

Senator itu berkata demikian pada Ahad (30 Dis) hanya beberapa hari selepas Presiden Trump mengumumkan bahawa beliau akan menarik balik askar-askar negara itu dengan serta merta.

"Presiden memahami pentingnya untuk menyelesaikan tugas itu," kata Encik Lindsey Graham kepada para wartawan di luar Rumah Putih setelah apa yang disifatkannya sebagai mesyuarat jamuan tengah hari yang diadakan selama dua jam.

"Saya rasa Presiden komited untuk memastikan agar apabila kita meninggalkan Syria, ISIS sudah tumpas sama sekali," kata penggubal undang-undang dari South Carolina itu.

Pada 19 Disember, Presiden Trump mengatakan "kami sudahpun berjaya menewaskan ISIS di Syria" menerusi satu catatan di Twitter. Ia sekaligus menerima respons daripada beberapa pakar tentera dan keselamatan yang berkata bahawa Presiden Trump memperkatakan perkara itu secara berlebih-lebihan. Mereka turut memberi amaran supaya tidak menarik balik askar-askar secara terburu-buru.

'MEMPERTIMBANGKAN PERKARA DENGAN MENYELURUH'

Encik Graham berkata Presiden Trump sedang "mengambil masa untuk memahami keadaan di Syria sebelum membuat sebarang keputusan serta menimbangkan bagaimana untuk menarik balik askar-askar" setelah memastikan ISIS dibanteras, dan agar pasukan Kurdi - iaitu sekutu Amerika Syarikat - dilindungi dan "Iran tidak meraih segala manfaat selepas kami mengundurkan diri".

"Saya akan meminta presiden untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah akan dilakukan oleh mantan Presiden Obama: iaitu untuk membuat pertimbangan semula," katanya.

Encik Graham berkata beliau tahu Presiden Trump "kecewa" dengan pilihan terhad di Syria.

"Presiden sedang mempertimbangkan semula bagaimana untuk melaksanakan rancangan itu," katanya.

"Saya faham. Kita bukanlah 'polis' dunia."

Beliau menambah: "Saya akan meminta beliau untuk mengadakan perbincangan dengan jeneral-jeneralnya dan mempertimbangkan semula cara melaksanakan rancangan ini. Memperlahankan proses ini dan memastikan agar kita berjaya."

PENGUMUMAN TRUMP BERI SATU KEJUTAN

Penasihat rapat Presiden Trump, Kellyanne Conway, sebelum ini memberi bayangan bahawa presiden itu mungkin memikirkan semula rancangan beliau untuk menarik balik askar-askar tersebut.

Keputusan Presiden Trump mengenai Syria memberi satu kejutan kepada negara-negara serantau, ahli politik Amerika Syarikat dari parti Republican dan Democrat, serta para pemimpin tentera.

Mereka berkata keputusan penting seumpama itu diumumkan tanpa rundingan lanjut, dan ia bukan setakat menentang nasihat para penasihat keselamatan negaranya malah ia juga diumumkan menerusi Twitter.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Jim Mattis meletak jawatan menyusuli pengumuman tersebut. Pada hari yang sama, para pegawai Amerika Syarikat berkata Presiden Trump juga sedang merancang untuk menarik balik jumlah besar askar dari Afghanistan. Menurut beberapa laporan, hampir separuh daripada 14,000 askar mungkin akan ditarik balik. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan