Presiden Trump dibawa ke hospital tentera
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tampil di depan khalayak ramai semalam (2 Okt) sejak diuji positif COVID-19. Beliau dilihat menaiki helikopter Marine One untuk ke sebuah hospital tentera.
Presiden Donald Trump. (Gambar: Joshua Roberts/REUTERS)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tampil di depan khalayak ramai semalam (2 Okt) sejak diuji positif COVID-19. Beliau dilihat menaiki helikopter Marine One untuk ke sebuah hospital tentera.
Rumah Putih menyatakan bahawa lawatan ke Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed "selama beberapa hari" adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan beliau akan terus bekerja dari sebuah bilik yang dilengkapi dengan kemudahan untuk membolehkannya meneruskan tugas rasmi.
"Presiden Trump dalam keadaan baik, mengalami gejala ringan dan beliau bekerja sepanjang hari," kata setiausaha media Kayleigh McEnany.
"Demi mengambil langkah berjaga-jaga dan atas saranan para pakar perubatan, Presiden akan bekerja dari pejabat presiden di Walter Reed selama beberapa hari akan datang."
Hanya sebulan sebelum pilihan raya presiden diadakan di negara itu, Presiden Trump mendedahkan bahawa beliau diuji positif virus tersebut menerusi Twitter pada sekitar 1.00 pagi selepas pulang dari sebuah acara amal politik. Beliau berkeras ke acara tersebut tanpa menyampaikan ucapan meskipun mengetahui bahawa salah seorang pegawainya sudah dijangkiti virus yang sudahpun menjangkiti berjuta-juta orang di Amerika Syarikat dan meragut nyawa berjuta-juta yang lain di merata dunia.
Isterinya, Melanie Trump dan sebilangan kakitangan Rumah Putih juga diuji positif, menurut Presiden Trump, sekali gus mencetuskan kebimbangan Rumah Putih ataupun Presiden Trump sendiri mungkin merebakkan lagi wabak tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.