Presiden Tharman kunjungi Sultan Selangor di Istana Alam Shah
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan menerima kunjungan Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana Alam Shah-. (Gambar: BERNAMA)
Ketibaan Presiden Tharman pada 11 pagi di Istana Alam Shah, disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Steven Sim turut hadir selaku Menteri Pengiring.
Sesi menghadap yang berlangsung sekitar satu jam setengah itu berakhir pada 12.40 tengah hari sebelum Presiden Tharman meninggalkan Istana Alam Shah.
Beliau berada di Malaysia bagi Lawatan Negara selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Julai, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Kementerian Luar Malaysia memaklumkan, lawatan itu sebagai membalas Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.
Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global. Di peringkat serantau pula, Singapura merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Sementara itu, menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin dan Presiden Tharman turut membincangkan pelbagai perkara berkaitan ekonomi serta pembangunan Selangor dan Singapura semasa sesi menghadap tersebut.
“Antara yang menarik perhatian Sultan Sharafuddin ialah keberkesanan teknologi tebatan banjir di bandar raya Singapura serta kaedah pembersihan sungai dan kelestarian pembangunan alam sekitar negara itu yang mapan."
“Baginda mahu agar Kerajaan Negeri Selangor belajar dan mengadaptasi model pembangunan dan teknologi yang diguna pakai oleh Singapura itu bagi mengatasi masalah banjir di negeri Selangor,” menurut hantaran tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.