Presiden Taiwan ikrar perhebat kuasa tentera sedang ketegangan China memuncak

(Gambar: Sam Yeh/AFP)
TAIPEI: Presiden Taiwan Tsai Ing-wen berikrar untuk memperhebat kuasa tentera pulau itu dan tekadnya untuk mempertingkatkan pertahanannya dalam ucapan utama pada Isnin (10 Okt) di tengah-tengah ketegangan dengan China.
Taiwan, yang didakwa oleh China sebagai wilayah miliknya, di bawah tekanan ketenteraan dan politik yang semakin meningkat daripada Beijing, khususnya menyusuli permainan perang China pada awal Ogos selepas lawatan Speaker Rumah Putih Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan.
Menurut rangka ucapan hari kebangsaannya pada Isnin (10 Okt), seperti yang digambarkan kepada Reuters oleh seorang sumber yang diberi maklumat mengenai kandungannya, Cik Tsai akan menyentuh tentang "memperhebat kuasa tentera pertahanan nasional dan menyatukan semangat penduduk".
"Selain mengesahkan semula komitmen Taiwan untuk mengukuhkan pertahanan dan kedudukannya untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau, presiden itu juga akan memberi penjelasan mengenai usaha untuk memperkukuhkan daya tahan dan kuasa tempur pertahanan nasional," menurut sumber itu.
Cik Tsai sedang menyelia program pemodenan tentera dan mempertingkatkan perbelanjaan pertahanan sedang China menekankan dakwaan kedaulatannya terhadap Taiwan, lapor Reuters.
Dalam ucapannya, Cik Tsai juga akan menegaskan bahawa "daya tahan demokratik" adalah kunci untuk melindungi Taiwan, dedah sumber itu.
Ini termasuk untuk terus menjalin kerjasama antarabangsa dan "melibatkan" sekutu demokratik.
Ucapan Cik Tsai akan berlangsung kurang seminggu sebelum kongres Parti Komunis pemerintah China dibuka di Beijing, di mana Presiden Xi Jinping dijangka menang untuk penggal yang ketiga.
China berikrar untuk bekerjasama bagi "penyatuan" damai dengan Taiwan di bawah model "satu negara, dua sistem".
Kesemua parti politik Taiwan menolak saranan tersebut dan ia tidak menerima sokongan masyarakat awam langsung, menurut tinjauan pendapat. China juga tidak pernah menarik balik penggunaan kuasa untuk menguasai Taiwan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.