Skip to main content

Dunia

Presiden Syria akan bertemu Putin di Mosko pada 15 Nov

Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, akan bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Mosko pada Rabu (15 Okt), lapor agensi berita negara SANA, menandakan lawatan pertamanya ke Rusia sejak sekutu lama Mosko, Bashar al-Assad, digulingkan tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Syria akan bertemu Putin di Mosko pada 15 Nov

Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa (kiri), bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, di Hotel Lotte New York Palace, sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di New York City, Amerika Syarikat, pada 22 September 2025. (Gambar: REUTERS/Bing Guan/Pool)

DAMSYIK: Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, akan bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Mosko pada Rabu (15 Okt), lapor agensi berita negara SANA, menandakan lawatan pertamanya ke Rusia sejak sekutu lama Mosko, Bashar al-Assad, digulingkan tahun lalu.

Rundingan tersebut akan tertumpu kepada perkembangan serantau dan antarabangsa serta usaha memperkukuh kerjasama dua hala, menurut SANA yang memetik pejabat media presiden Syria.

LAWATAN PERTAMA SEJAK KEJATUHAN ASSAD

Saluran pro-pemerintah Syria TV dan satu lagi sumber pemerintah mengesahkan lawatan Encik Sharaa, sambil menyatakan ia akan diteruskan walaupun sidang puncak Arab yang dirancang di Mosko, yang dijangka dihadiri pemimpin Syria itu, ditangguhkan.

Menurut sumber tersebut, delegasi Encik Sharaa dijangka merangkumi menteri luarnya serta pegawai kanan tentera dan ekonomi.

PANGKALAN TENTERA DAN PERMOHONAN EKSTRADISI

Rundingan turut dijangka menyentuh status pangkalan laut Rusia di Tartous dan pangkalan udaranya di Hmeimim, dua lokasi strategik yang diwujudkan Mosko semasa campur tangannya dalam perang saudara Syria pada 2015.

Sumber itu berkata Encik Sharaa akan secara rasmi memohon supaya Encik Assad, yang diberi suaka di Rusia selepas digulingkan oleh pasukan pemberontak pada Disember lalu, dibicarakan atas dakwaan jenayah ke atas rakyat Syria.

PULIHKAN HUBUNGAN DENGAN MOSKO

Encik Sharaa, yang mengetuai gabungan pemberontak yang menawan Damsyik dan menubuhkan pemerintah baharu, berusaha untuk mengekalkan hubungan pragmatik dengan Mosko meskipun negara tersebut sebelum ini menyokong Encik Assad.

Rusia pula berusaha mengekalkan pengaruhnya di Syria selepas rejim Assad ditumbangkan dengan menawarkan sokongan diplomatik dan mengecam serangan udara Israel di wilayah Syria.

Pada Julai lalu, Encik Putin dan Menteri Luar Sergei Lavrov bertemu Menteri Luar Syria, Asaad al-Shibani, di Mosko, dalam mesyuarat peringkat tinggi pertama antara kedua-dua pemerintah sejak Encik Assad digulingkan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita