Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa tidak naik pesawat ke S'pura dari Maldives

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa tidak naik pesawat ke S'pura dari Maldives

(Gambar: Eranga Jayawardena/AP)

SINGAPURA: Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa tidak menaiki pesawat ke Singapura pada Khamis pagi (14 Jul) dari Maldives setelah melarikan diri dari negaranya pada Rabu (13 Jul), lapor media Sri Lanka. 

Menukil sumber pemerintah, Reuters melaporkan pada Rabu malam (13 Jul) bahawa Encik Rajapaksa dijangka melakukan penerbangan ke Singapura. Tambahnya, presiden itu dijadual meletak jawatan setelah tiba di Singapura. 

Namun, menurut akhbar Sri Lanka, Daily Mirror, pada Khamis pagi (14 Jul), Encik Rajapaksa dan isterinya tidak berlepas ke Singapura menerusi penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Male dan sedang menunggu untuk menaiki pesawat privet. 

Memetik sumber-sumber dari Maldives, Daily Mirror melaporkan bahawa mereka tidak menaiki penerbangan yang dijadualkan itu "disebabkan keprihatinan keselamatan". 

Dalam pada itu, akhbar The Maldives Journal pada Khamis (14 Jul) menyatakan Encik Rajapaksa masih berada di Maldives. Encik Rajapaksa dipercayai bergegas ke sebuah pulau peranginan dengan polis Maldives setelah tiba pada Rabu (13 Jul), menurut Maldives News Network. 

Sri Lanka kini bergelut dengan krisis ekonomi paling teruk dalam beberapa dekad dan Encik Rajapaksa dituduh salah mengurus ekonomi sehingga negara itu sudah kehabisan pertukaran wang asing untuk membiayai import-import paling asas, menyebabkan penderitaan terhadap 22 penduduknya. 

Ribuan penunjuk perasaan antipemerintah menyerbu pejabat Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe pada Rabu (13 Jul), beberapa jam setelah beliau dilantik sebagai pemangku presiden. Mereka ingin Encik Wickremesinghe meletak jawatan kerana dipandang sebagai rakan sekutu Encik Rajapaksa. 

Polis dan pasukan tentera gagal mengawal penunjuk perasaan meskipun melancarkan gas pemedih mata dan penyembur air ke arah mereka. 

Negara tersebut mengisytiharkan keadaan darurat pada Rabu (13 Jul) susuli tunjuk perasaan selama beberapa bulan. 

Pada hujung minggu lalu, Encik Rajapaksa berjanji akan mengundurkan diri pada Rabu (13 Jul) untuk memastikan "peralihan kuasa secara aman". 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan