Presiden Prabowo yakin kebakaran hutan Indonesia dapat dikawal dalam 1-2 minggu
Presiden Indonesia Prabowo berkata sumber yang besar telah digerakkan bagi menangani kebakaran berkenaan, termasuk puluhan helikopter, lebih 12 pesawat, ratusan telaga air dan pam, serta ribuan anggota keselamatan dan penyelamat. (Gambar fail: Reuters)
- Presiden Prabowo Subianto menyatakan kebakaran hutan di Indonesia kini mula dikawal dengan usaha besar-besaran oleh pelbagai agensi kerajaan.
- Langkah melibatkan penggunaan puluhan helikopter, pesawat, pam air, serta ribuan anggota keselamatan dan penyelamat di kawasan terjejas.
- Prabowo turut meninjau sendiri operasi di Kalimantan dan Sumatera, serta menekankan keperluan berwaspada akibat fenomena El Nino yang kuat tahun ini.
- Selain kebakaran, kerajaan juga bertindak pantas menangani gempa bumi di Nusa Tenggara Timur, dengan ribuan gegaran susulan dan ramai mangsa masih di pusat pemindahan.
Encik Prabowo berkata sumber yang besar sudah digerakkan bagi menangani kebakaran berkenaan, termasuk puluhan helikopter, lebih 12 pesawat, ratusan telaga air dan pam, serta ribuan anggota keselamatan dan penyelamat.
“Saya fikir ia telah mula dikawal dan diredakan di beberapa tempat. Saya berharap dalam tempoh satu atau dua minggu semuanya dapat diselesaikan,” katanya dalam ucapan di majlis pelancaran program tenaga suria 100 gigawatt Indonesia dan upacara pecah tanah bagi projek permulaannya di Jembrana, Bali, pada Selasa (25 Ogos), yang disiarkan secara langsung.
Encik Prabowo berkata dunia sedang mengalami fenomena El Nino yang kuat tahun ini, yang diramalkan antara yang terkuat, sekali gus menuntut Indonesia untuk kekal berwaspada terhadap risiko yang timbul akibat fenomena cuaca berkenaan.
Presiden itu berkata beliau sudah pun melawat sendiri beberapa kawasan untuk meninjau situasi dan mendapati pemerintah wilayah, kementerian dan agensi, pihak tentera, polis serta pihak berkuasa pengurusan bencana bekerja dengan berkesan.
Pada Sabtu (22 Ogos), Encik Prabowo berangkat ke Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah untuk meninjau operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah serta memimpin usaha tindak balas, sebelum menuju ke Sumatera pada Isnin untuk memantau operasi pemadaman kebakaran di sana.
Beliau turut menyorot tindak balas pemerintah terhadap bencana lain baru-baru ini, termasuk gempa bumi kuat yang melanda Nusa Tenggara Timur (NTT) awal bulan Ogos.
“Kita menyelesaikan bencana di Aceh dalam tempoh yang tidak dapat dibayangkan oleh banyak pihak. Di NTT, tindak balas kita sangat pantas, sangat besar. Di mana-mana sahaja, kami hadir,” katanya.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Wilayah Flores di NTT pada 15 Ogos, mengorbankan 103 orang dan mencederakan 1,666 yang lain, manakala 185,131 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan setakat 4 petang Selasa, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana BNPB Berton Panjaitan dalam satu sidang media pada Selasa berkata 7,029 gegaran susulan sudah direkodkan sejak gempa bumi utama, termasuk 141 gegaran yang dirasai oleh para penduduk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.