Skip to main content

Dunia

Presiden Prabowo sahkan 4 pulau dipertikai milik wilayah Aceh

Anggaran Waktu Membaca:
 Presiden Prabowo sahkan 4 pulau dipertikai milik wilayah Aceh

Presiden Indonesia Prabowo Subianto. (Gambar: YASUYOSHI CHIBA / AFP)

Diterbitkan : 18 Jun 2025 11:15PM Dikemas Kini : 18 Jun 2025 11:16PM
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengesahkan bahawa empat pulau yang menjadi pertikaian pentadbiran antara dua wilayah adalah milik Aceh, menurut Menteri Sekretariat Negara Prasetyo Hadi pada Selasa (17 Jun).

Pulau-pulau berkenaan iaitu Pulau Panjang, Pulau Lipan, Pulau Mangkir Gadang dan Pulau Mangkir Ketek mencetuskan ketegangan antara pemerintah wilayah Aceh dan Sumatera Utara.

“Presiden telah memutuskan bahawa berdasarkan dokumen rasmi yang dimiliki pemerintah, keempat-empat pulau ini secara pentadbiran adalah sebahagian daripada Aceh,” katanya dalam sidang media di kompleks Istana Presiden, yang diikuti secara langsung online.

Keputusan pemilikan pulau-pulau diumum selepas mesyuarat yang dipengerusikan Encik Prabowo, berdasarkan laporan daripada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sekretariat Negara dan Pemerintah Provinsi Daerah Istimewa Aceh.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Sufmi Dasco Ahmad, Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian, Gabenor Sumatera Utara Bobby Nasution dan Gabenor Aceh Muzakir Manaf.

“Kami berharap keputusan ini menyelesaikan kedinamikan yang sedang berlaku dan menghentikan spekulasi dalam kalangan masyarakat,” kata Encik Prasetyo.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa mana-mana pemerintah wilayah cuba secara sepihak menuntut pemilikan pulau-pulau berkenaan.

Encik Muzakir berkata keputusan yang dicapai menandakan satu sejarah baharu antara kedua-dua wilayah.

“Hari ini mencatatkan satu sejarah meskipun kecil. Harapan kami agar tiada pihak yang merasa rugi. Semoga tiada lagi pertikaian dan keadaan terus aman serta damai,” katanya.

Encik Bobby menyeru agar seluruh penduduk Sumatera Utara agar tidak mudah terhasut atau terpengaruh dengan sentimen yang memecahbelahkan.

“Penyelesaian ini dicapai secara baik, bijaksana dan pantas atas sokongan Presiden,” tambahnya.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita