Presiden Prabowo rombak kabinet Indonesia, gantikan menteri kontroversial
Presiden Indonesia Prabowo Subianto membuat rombakan Kabinet pertamanya, dengan menggantikan seorang menteri kanan.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan pada 19 Feb, 2025 bahawa Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Satryo Soemantri Brodjonegoro (kiri) digantikan oleh Brian Yuliarto (kanan), (Gambar: Facebook/Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, dan Teknologi, Tim Media Presiden)
Pada Rabu (19 Feb), Presiden Prabowo mengumumkan bahawa Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi, Satryo Soemantri Brodjonegoro, 69 tahun, digantikan oleh Brian Yuliarto, seorang lagi ahli akademik yang berkhidmat sebagai timbalan rektor di Institut Teknologi Bandung di Jawa Barat.
Encik Brian mengangkat sumpah jawatan secara rasmi di Istana Negara di Jakarta pada petang Rabu, lapor media tempatan.
Menurutnya, beliau ditawarkan jawatan itu sendiri oleh Presiden Prabowo pada pagi Rabu sebelum mengangkat sumpah pada sebelah petang.
"Saya menerima panggilan semasa berada di Bandung kira-kira jam 9.00 pagi," kata Encik Brian di majlis angkat sumpah di Istana Negara.
"Saya diarahkan untuk menggabungkan kementerian dan memastikan ia selaras dengan program presiden," tambahnya, seperti dipetik oleh Jakarta Globe.
Beliau bagaimanpun enggan menyatakan keutamaannya, sekadar berkata akan memberi tumpuan kepada "program strategik dalam program Asta Cita Presiden Prabowo, seperti menghasilkan tenaga kerja bermutu tinggi", menurut Jakarta Post.
Program Asta Cita yang mengandungi "lapan visi" itu adalah strategi Encik Prabowo untuk menangani cabaran sosio-ekonomi Indonesia.
Tidak lama selepas Encik Brian dilantik sebagai penggantinya, Encik Satryo mendakwa bahawa beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden Prabowo lebih awal pada Rabu.
“Saya baru pulang dari Sekretariat Negara selepas menyerahkan surat peletakan jawatan. Saya telah bekerja keras sejak empat bulan lalu tetapi mungkin saya tidak memenuhi jangkaan pemerintah jadi saya memutuskan untuk meletakkan jawatan daripada dipecat,” kata mantan menteri itu kepada media di Jakarta, seperti dipetik oleh Jakarta Globe.
“Saya percaya saya telah melakukan yang terbaik dan bekerja dengan ikhlas. Jika itu tidak mencukupi maka saya memilih untuk meletak jawatan,” katanya, sambil menambah bahawa beliau sudah menulis surat peletakan jawatannya sekitar tengah malam Selasa dan menyampaikannya sendiri kepada Sekretariat Negara pada hari berikutnya untuk diserahkan kepada Presiden Prabowo.
Encik Satryo terima tekanan untuk melepaskan jawatan sejak bulan lepas berikutan dakwaan beliau telah memecat secara mengejut seorang penjawat awam di kementerian pengajian tinggi yang mencetuskan bantahan oleh ratusan kakitangan kementerian itu pada 20 Jan di Jakarta Pusat.
Pada Januari, seorang kakitangan kanan yang telah bekerja selama 24 tahun di kementerian itu, Neni Herlina, mendakwa dibuang kerja secara tiba-tiba, didakwa atas arahan isteri Encik Satryo.
Keputusan itu kemudiannya dibatalkan berikutan berlaku bantahan selepas Encik Satryo sendiri mengadakan pertemuan dengan penjawat awam yang mengadakan tunjuk perasaan.
Ketua Direktorat Persatuan Karyawan Pendidikan Tinggi, Suwitno memberitahu Tempo bahawa Cik Neni Herlina ditukar ke unit lain dan bukannya dipecat.
Encik Satryo juga berkata bahawa rombakan meluas kementeriannya adalah perlu untuk meningkatkan kecekapan dan sinergi kerja, sambil menambah bahawa ia "selaras dengan seruan presiden untuk lebih cekap dengan kewangan kementerian".
Mantan menteri itu juga menghadapi tuduhan menyerang kakitangannya beberapa kali, walaupun telah menafikannya.
Dalam rakaman suara yang tersebar online, juga pada Januari, kedengaran suara serupa dengan Encik Satryo yang didakwa memarahi dan menampar salah seorang vendor kementeriannya kerana beberapa masalah air di rumahnya.
“Itu bukan suara saya,” katanya pada Januari, seperti yang dipetik oleh platform berita tempatan Tempo.
Secara berasingan, Encik Satryo juga baru-baru ini dikritik kerana menangguhkan penggubalan peraturan yang mewajibkan gaji insentif untuk pensyarah, menurut Jakarta Post. Mantan menteri itu mengumumkan pada Disember tahun lalu bahawa kementeriannya akan menilai semula peraturan yang ditandatangani oleh pendahulunya Nadiem Makarim.
Beliau berkata ini supaya kementeriannya dapat mengkaji semula peraturan itu seperti dinasihatkan beberapa pihak dalam sektor pengajian tinggi.
Penilaian itu bagaimanapun berpotensi menangguhkan pengeluaran elaun pensyarah, menurut The Jakarta Post.
Selain Encik Brian, Presiden Prabowo turut melantik Muhammad Yusuf Ateh dan Agustina Arumsari sebagai ketua dan timbalan ketua Badan Pengawas Kewangan dan Pembangunan yang baharu, dan Amelia Adininggar Widyasanti dan Sonny Harry Budiutomo Harmadi sebagai ketua dan timbalan ketua Badan Pusat Statistik Indonesia.
Nugroho Sulistyo Budi dilantik sebagai ketua Agensi Siber Negara yang baharu.
Pada 23 Jan, Presiden Probowo mengarahkan pemotongan belanjawan sebanyak 256 trilion rupiah (S$20.99 bilion) untuk kementerian dan agensi negeri, bersama-sama dengan pengurangan 50 trilion rupiah dalam pemindahan pemerintah pusat kepada pentadbiran wilayah.
Arahannya pada Januari itu tidak menyatakan sebab belanjawan dipotong. Media tempatan bagaimanapun melaporkan bahawa penjimatan itu akan disalurkan kepada inisiatif makanan berkhasiat percuma serta Danantara, dana kekayaan negara baharu Indonesia yang akan dilancarkan pada 24 Feb.
Mediacorp melaporkan sebelum ini bahawa beberapa penjawat awam telah mempersoalkan langkah Presiden Prabowo itu yang menjejaskan semangat kakitangan dengan beberapa program keutamaan ditiadakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.