Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Perancis luluskan pelan melatih sehingga 2,000 tentera Ukraine

Anggaran Waktu Membaca:
PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron menyokong cadangan untuk melatih sejumlah besar tentera Ukraine di negara tersebut, Menteri Pertahanan Sebastien Lecornu memberitahu akhbar Le Parisien pada Sabtu (15 Okt).

"Presiden sudah meluluskan pelan latihan yang akan membenarkan sehingga 2,000 tentera Ukraine untuk berlatih di Perancis," katanya.

"Mereka akan dikerahkan ke unit-unit kami selama beberapa minggu," kata Encik Lecornu sambil menambah bahawa latihan ketenteraan bagi penggunaan meriam howitzer Caeser sebelum ini sudahpun ditawarkan kepada tentera Ukraine.

"Tetapi sekarang, terdapat perubahan pada skalanya," kata Encik Lecornu.

Menteri tersebut berkata Perancis sudahpun menghantar 18 meriam howitzer Caeser ke Ukraine sejauh ini dan perbincangan sedang diadakan untuk mengirimkan lagi enam meriam tersebut. Selain itu, Perancis juga sedang mempertimbangkan penghantaran peluru berpandu, kata Encik Lecornu.

Beliau juga berikrar Perancis akan menyediakan peluru berpandu antiudara jarak dekat Crotale, yang diguna untuk memintas peluru berpandu serta pesawat yang terbang pada ketinggian rendah.

"Jumlah Crotale akan ditentukan bersama pihak Ukraine tetapi jumlahnya besar bagi membolehkan ia mempertahankan ruang udaranya," ujar Encik Lecornu.

Matlamatnya adalah untuk menyelesaikan penghantaran Crotale "dalam masa dua bulan," kata Encik Lecornu, sambil mengambil kira latihan yang diperlukan tentera Ukraine.

Encik Macron berkata pada Rabu (12 Okt) bahawa Perancis akan menghantarkan sistem pertahanan udara dan radar ke Ukraine dalam beberapa minggu akan datang. Ia khususnya untuk membantu Ukraine melindungi dirinya daripada serangan dron dan peluru berpandu.

Paris sebelum ini membekalkan peluru berpandu antipesawat Mistral ke Ukraine.
Sumber : Reuters/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan