Presiden Perancis Emmanuel Macron hadir mesyuarat PBB, bakal iktiraf negara Palestin
Surat yang ditulis Presiden Macron kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas. (Gambar: Emmanuel Macron\X)
PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron sedang bersiap sedia untuk berangkat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Ahad (21 September), untuk mengiktiraf negara Palestin.
Julai lalu, Macron menerbitkan surat yang dihantar kepada Presiden Pentadbir Palestin Mahmoud Abbas yang mengesahkan hasrat Perancis untuk meneruskan dengan pengiktirafan tersebut dan berusaha untuk meyakinkan rakan-rakan kongsi lain untuk melakukan perkara yang sama.
Sejak pengumuman Macron, Britain, Kanada, Australia dan Belgium sudah berbuat demikian.
London bagaimanapun menyatakan ia mungkin menangguhkan keputusan itu jika Israel mengambil langkah untuk meredakan krisis kemanusiaan di Gaza dan komited kepada proses damai jangka panjang.
Perancis mempunyai jumlah terbesar penganut Yahudi dan Islam di Eropah, dan perdebatan awam mengenai Gaza bertambah hangat sejak konflik Israel-Hamas tercetus dua tahun lalu.
Jenayah kebencian semakin berleluasa di seluruh Perancis, termasuk satu insiden antisemitik berprofil tinggi. Awal tahun ini, lima rumah ibadat Yahudi di Paris disimbah dengan cat hijau.
Angka kematian rakyat Palestin akibat perang dua tahun lalu sudah melepasi 65,000 pada Rabu (18 September), menurut penguasa kesihatan Gaza.
Kira-kira 1,200 orang terbunuh dalam serangan Hamas sejak Oktober 2023 dan 251 dijadikan tebusan.
Sekumpulan pejuang hak asasi manusia, yang juga disertai para peguam, bertemu dengan wakil-wakil kementerian luar Perancis pada Selasa lalu (17 September) untuk mendesak tindakan terhadap petempatan Israel di Tebing Barat.
Nathalie Theo, ketua Liga Hak Asasi Manusia, berkata mengiktiraf negara Palestin "hanya langkah pertama kerana ada penjajahan juga semakin pesat berlaku. Jadi ia tidak seharusnya bersifat diplomatik semata-mata."
Negara-negara yang berhasrat mengiktiraf kenegaraan Palestin menyatakan langkah ini bertujuan memberi tekanan kepada Israel untuk menamatkan serangan dahsyatnya ke atas Gaza, menyekat pembinaan petempatan baharu Yahudi di Tebing Barat dan komit semula kepada proses damai dengan Palestin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.