Skip to main content

Dunia

Presiden PAS Abdul Hadi Awang selesai beri keterangan, tidak elak daripada disoal siasat

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang selesai memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Pejabat PAS Pusat pada Isnin (4 Sept).

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman ketika ditemui media pada Isnin.

"Alhamdulilah Tuan Guru telah selesai memberikan keterangan kepada pihak polis... seorang (berpangkat) Asisten Superintendan (ASP) daripada USJT Bukit Aman. Ia berlangsung dengan baik... Tuan Guru berikan kerjasama.

"(Abdul Hadi) berikan keterangan hampir satu jam dan telah selesai menjawab setiap persoalan dikehendaki oleh pihak polis," katanya, menurut Astro Awani.

Jelas Encik Mohd Syahir, tidak timbul soal Presiden PAS itu mengelak untuk disoal siasat seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

Sebaliknya Encik Abdul Hadi, jelasnya terpaksa menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan ia telah dimaklumkan kepada pihak polis sebelum ini.

"Komunikasi saya dan pihak Bukit Aman jelas dan kenyataan pihak polis pun jelas dan tidak bercanggah. Memang Tuan Guru (Abdul Hadi) ada menerima rawatan pada pagi Sabtu 2 September di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu menyebabkan kelewatan untuk tiba di Kuala Lumpur untuk rakam keterangan pada jadual asal.

"Atas sebab itu saya maklumkan kepada pihak polis, Tuan Guru ada rawatan di hospital, tiga hingga empat jam kemudian baru Tuan Guru bertolak ke Kuala Lumpur.

"Tuan Guru dalam keadaan yang sihat, tetapi pihak media mungkin mengatakan bahawa Tuan Guru tidak sihat. Jadi tidak timbul soal mengelak," katanya lagi, dipetik daripada Astro Awani.

Mengenai beberapa gambar menunjukkan Encik Abdul Hadi bertemu mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bersama empat Menteri Besar di ibu negara pula, jelas Mohd Syahir, pertemuan itu mengikut jadual asal.

"Jadi yang tersebar gambar jumpa dengan Dr Mahathir dan mesyuarat bersama empat Menteri Besar tersebut mengikut jadual asal.

"Alhamdulilah, Tuan Guru sihat dan dalam makluman pihak polis jadual perjalanan Tuan Guru pada hari Sabtu lepas," katanya lagi, lapor Astro Awani.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan telah dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ia berhubung kenyataan Encik Abdul Hadi yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar di Johor minggu lalu.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita