Skip to main content

Dunia

Presiden Palestin lawat Jenin dalam usaha redakan ketegangan

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Palestin lawat Jenin dalam usaha redakan ketegangan

Presiden Palestin Mahmud Abbas berucap semasa lawatan ke kem Jenin, di utara Tebing Barat pada 12 Julai 2023, selang seminggu selepas serbuan terbesar Israel di sana dalam beberapa tahun. (Gambar: Jaafar ASHTIYEH / AFP)

Diterbitkan : 13 Jul 2023 11:35AM
NABLUS: Presiden Palestin Mahmoud Abbas melawat bandar Jenin di Tebing Barat pada Rabu (12 Jul).

Lawatan itu didadakan beberapa hari selepas tiga pegawai kanannya terpaksa meninggalkan upacara pengebumian selepas orang ramai naik berang dengan tindak balas mereka terhadap serangan Israel beberapa hari sebelum itu.

Kemarahan orang ramai di pengebumian pejuang yang terkorban dalam operasi Israel selama dua hari menyerlahkan ketidakpopularan mendalam Pihak Berkuasa Palestin dan perpecahan yang semakin meluas dalam kalangan puak Palestin.
Encik Abbas yang berusia 87 tahun, melawat tanah perkuburan tempat pengebumian diadakan di pintu masuk ke kem pelarian Jenin.

Encik Abbas berucap kepada orang ramai di pinggir kem di mana infrastruktur jalan raya rosak dan bangunan terbakar akibat operasi besar-besaran Israel di Tebing Barat.

Encik Abbas turut menyatakan komitmen bahawa kem berkenaan akan dibina semula.

Selama lebih setahun, serbuan Israel di bandar seperti Jenin atau Nablus telah menjadi rutin.

Pihak Berkuasa Palestin menjalankan tadbir urus terhad ke atas bahagian Tebing Barat termasuk Jenin tetapi ia tidak berdaya untuk menghentikan serbuan Israel.

Pasukan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin, termasuk anggota unit pengawal presiden Encik Abbas sendiri telah dikerahkan dalam jumlah yang besar di Jenin selepas ketegangan dengan puak lain meletus secara terbuka semasa upacara pengebumian minggu lalu.

Hamas, gerakan Islam yang mengawal Gaza dan Jihad Islam yang disokong Iran telah lama bertentangan dengan Pihak Berkuasa Palestin.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita