Skip to main content

Dunia

Presiden Palestin bertemu pemimpin Qatar runding gencatan senjata Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Palestin bertemu pemimpin Qatar runding gencatan senjata Gaza

Presiden Palestin Mahmoud Abbas. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 12 Feb 2024 08:21AM
DOHA: Presiden Palestin Mahmoud Abbas tiba di Qatar bagi mengadakan pertemuan dengan para pemimpin negara itu untuk membincangkan proses gencatan senjata di Gaza.

Media antarabangsa melaporkan, Encik Abbas akan bertemu pemimpin Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani pada Isnin (12 Feb).

Namun, tidak jelas sama ada pemimpin tertinggi Qatar itu akan turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin Hamas, kumpulan yang lama bersengketa dengan Encik Abbas dan kumpulan Fatahnya yang berpangkalan di Tebing Barat.

Duta Palestin ke Qatar Munir Ghannam memberitahu Voice of Palestine Radio pada Ahad (11 Feb), bahawa Encik Abbas dan Sheikh Tamim akan membincangkan usaha untuk mencapai gencatan senjata dengan Israel, serta cara-cara untuk meningkatkan bantuan kepada 2.3 juta penduduk di wilayah terkepung itu.

"Qatar memainkan peranan penting dalam usaha antarabangsa dan pengantaraan untuk mencapai gencatan senjata. Oleh itu, penyelarasan dengan Qatar, juga dengan Mesir amat penting, untuk menamatkan pencerobohan ini terhadap rakyat kami," kata Encik Munir.

Qatar juga menjadi tuan rumah kepada ketua Hamas, Ismail Haniyeh, serta seorang lagi pemimpin kanan dalam kumpulan itu, Khaled Meshaal, yang mengendalikan hal ehwal diaspora di pejabat politik Hamas.

Hamas menguasai Gaza pada 2007 daripada Encik Abbas yang berpangkalan di Ramallah selepas perang saudara singkat dengan pasukan keselamatan yang setia kepada Presiden Palestin itu.

Sebahagian besar kuasa Encik Abbas dikurangkan kepada Tebing Barat yang diduduki Israel, yang lebih besar daripada Gaza tetapi dipecahkan oleh petempatan Israel.

Percubaan lalu terutamanya yang diketuai oleh Mesir untuk menyelesaikan pertikaian antara Hamas dan Fatah setakat ini gagal menamatkan perpecahan.

Menurut para penganalisis, ia melemahkan usaha Palestin untuk mendapatkan negara mereka sendiri di atas tanah yang kini diduduki oleh Israel.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita