Presiden Min Aung Hlaing lawat Thailand sedang Bangkok usaha libatkan semula Myanmar dengan ASEAN
Presiden Myanmar Min Aung Hlaing melakukan lawatan rasmi ke Thailand pada Khamis (6 Ogos), sedang Bangkok berusaha menggalak pelibatan semula negara jirannya itu dengan ASEAN.
Presiden Myanmar Min Aung Hlaing ketika menghadiri forum antarabangsa World Atomic Week di Moscow, Rusia, pada September 2025. (Gambar fail: REUTERS/Evgenia Novozhenina/Pool)
Encik Min Aung Hlaing dijadual bertemu Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul sebelum kedua-duanya menghadiri forum perniagaan Thailand-Myanmar.
Barisan pemimpin Myanmar tidak dibenarkan menghadiri sidang puncak ASEAN sejak 2021, apabila Encik Min Aung Hlaing mengetuai rampasan kuasa terhadap pemerintah yang dipilih pimpinan Aung San Suu Kyi.
Rampasan kuasa itu mencetuskan perang saudara yang dianggarkan sudah meragut sekitar 100,000 nyawa.
Mantan jeneral itu dikenakan pelbagai sekatan Barat dan berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa sejak menjadi Presiden Myanmar pada April lalu.
Pelantikannya menyusuli pilihan raya yang dimenangi dengan majoriti besar oleh parti yang disokong tentera, tanpa penyertaan pembangkang yang berdaya maju.
Thailand merupakan negara keempat yang dikunjungi Encik Min Aung Hlaing sejak menjadi presiden, selepas China, India dan Laos.
THAILAND USAHA LIBATKAN SEMULA MYANMAR
Encik Anutin berkata pada Selasa (4 Ogos) bahawa Thailand mengamalkan pendekatan "pelibatan semula secara berperingkat" bagi mengekalkan saluran komunikasi dengan Myanmar.
Bangkok juga mahu mendorong Myanmar supaya mematuhi syarat-syarat inisiatif damai ASEAN yang terbantut.
Kemajuan dalam pelan damai itu merupakan antara syarat utama bagi memulihkan hubungan Myanmar dengan ASEAN.
Encik Min Aung Hlaing sebelum ini berkata keamanan merupakan keutamaan utamanya sebagai presiden.
Namun, tentera Myanmar sejak itu meningkatkan serangan terhadap orang awam, termasuk operasi serangan udara yang diperhebatkan, menurut sebuah badan pemantau konflik minggu lalu.
Penganalisis berkata pendekatan Thailand boleh memperkukuh peranannya dalam ASEAN tetapi Bangkok perlu mengelak daripada dilihat seolah-olah mengiktiraf kepimpinan Encik Min Aung Hlaing tanpa kemajuan dalam pelan damai ASEAN.
Pakar Asia Tenggara dari Universiti Thammasat, Dulyapak Preecharush, berkata Thailand berpeluang memainkan peranan lebih besar sebagai penghubung antara pemerintah baharu Myanmar dengan ASEAN.
Namun, beliau berkata terdapat garis pemisah yang tipis antara melibatkan semula Myanmar dengan mengiktiraf kepimpinan Encik Min Aung Hlaing.
Pada Isnin (3 Ogos), pemerintah Myanmar membenarkan Cik Aung San Suu Kyi bertemu seorang wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Pertemuan itu berlangsung selepas bertahun-tahun timbul ketidakpastian mengenai kesihatan, keadaan dan keberadaan beliau sejak ditahan menyusuli rampasan kuasa 2021.
HUBUNGAN EKONOMI
Lawatan Encik Min Aung Hlaing turut berlangsung sedang Thailand berusaha menghidupkan semula hubungan ekonominya dengan Myanmar.
Forum perniagaan Thailand-Myanmar pada Khamis dijangka memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan.
Thailand merupakan antara pelabur asing utama di Myanmar bersama Singapura dan China, dengan pelaburan dalam sektor termasuk perhotelan, perbankan dan pengilangan.
Pelibatan terbesar Thailand adalah dalam sektor tenaga, yang merangkumi hampir suku daripada pelaburan asing di Myanmar.
Eksport Thailand ke Myanmar bernilai sekitar 67 bilion baht (S$2.6 bilion) dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Ia jauh lebih rendah berbanding lebih 800 bilion baht setahun sebelum pandemik COVID-19, sedang perdagangan terjejas oleh kawalan pertukaran asing yang lebih ketat dan perang saudara.
Pengerusi Majlis Perniagaan Thailand-Myanmar Kich Aungvitulsatit berkata lawatan Encik Min Aung Hlaing lebih bersifat muhibah dan tidak mungkin membawa kesan langsung ekonomi yang besar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.