Skip to main content

Dunia

Presiden Mexico gesa Amerika hormati maruah kemanusiaan pendatang asing

Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Isnin (9 Jun) menggesa pihak berkuasa Amerika Syarikat mematuhi undang-undang dalam proses pengusiran dan menghormati maruah kemanusiaan, susulan penangkapan besar-besaran pendatang dan bantahan yang tercetus di Los Angeles, California.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Mexico gesa Amerika hormati maruah kemanusiaan pendatang asing

Presiden Mexico Claudia Sheinbaum. (Gambar fail: REUTERS/Henry Romero)

MEXICO CITY: Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Isnin (9 Jun) menggesa pihak berkuasa Amerika Syarikat mematuhi undang-undang dalam proses pengusiran dan menghormati maruah kemanusiaan, susulan penangkapan besar-besaran pendatang dan bantahan yang tercetus di Los Angeles, California.

Menurut laporan Xinhua, Cik Sheinbaum yang ditemani Setiausaha Hal Ehwal Luar Mexico Juan Ramon de la Fuente, membacakan kenyataan mengenai bantahan di Los Angeles pada sidang media hariannya.

Kenyataan itu menggariskan lima langkah yang diambil pemerintah Mexico untuk melindungi hak masyarakat hijrahan Mexico di Amerika Syarikat.

“Pemerintah Mexico tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang amalan yang melanggar hak asasi manusia,” kata presiden itu sambil membuat permintaan “secara hormat tetapi tegas” agar pihak berkuasa Amerika bertindak mengikut proses sewajarnya dan dengan menghormati maruah kemanusiaan.

“Kami tidak bersetuju dengan tindakan ganas sebagai bentuk protes... kami menyeru komuniti Mexico agar bertindak secara aman dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi,” tambah Cik Sheinbaum.

Beliau turut menekankan bahawa kebanyakan rakyat Mexico di Los Angeles menetap dan bekerja secara sah, dan ekonomi Amerika “memerlukan mereka”.

“Pemerintah Mexico menegaskan komitmen teguhnya untuk melindungi dan mempertahankan hak asasi rakyat Mexico di luar negara, tanpa mengira status imigresen mereka,” katanya.

Melalui rangkaian konsulatnya, pemerintah menyediakan khidmat nasihat undang-undang dan bantuan lain bagi memastikan rakyat Mexico diberi layanan secara adil.

Setakat ini, seramai 42 rakyat Mexico telah ditahan, terdiri daripada 37 lelaki dan lima wanita, dalam bantahan di Los Angeles, menurut Setiausaha Hal Ehwal Luar.

Lebih 1,000 penunjuk perasaan bertempur dan berdepan dengan anggota Pengawal Negara di pusat bandar Los Angeles pada Ahad (8 Jun) dalam demonstrasi terbaru membantah operasi serbuan imigresen di seluruh California pada hujung minggu lalu.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita