Skip to main content

Dunia

Presiden Marcos rancang bertemu dengan Trump untuk bincangkan dasar imigresen

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Marcos rancang bertemu dengan Trump untuk bincangkan dasar imigresen

(Gambar fail: TED ALJIBE / AFP)

Diterbitkan : 30 Jan 2025 08:11PM Dikemas Kini : 30 Jan 2025 08:17PM
MANILA: Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr berkata pada Khamis (30 Jan) bahawa beliau merancang untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi membincangkan pelbagai isu termasuk imigresen, dalam usaha mempengaruhi dasar negara yang menurutnya, boleh menjejas sejumlah besar warga Filipina di Amerika Syarikat.

"Kita akan lihat bagaimana kita boleh mempengaruhi penggubalan dasar dari segi imigresen," kata Presiden Marcos tanpa mendedahkan bila pertemuan itu akan diadakan.

Bercakap kepada wartawan mengenai pelbagai isu, Presiden Marcos juga berkata beliau akan pulangka sistem peluru berpandu Typhon kepada Amerika Syarikat jika China hentikan apa yang disifatkannya sebagai tindakan agresif dan memaksa, serta tuntutannya terhadap wilayah di Laut China Selatan.

China sekeras-kerasnya membantah tindakan Amerika Syarikat menggunakan sistem peluru berpandu dalam latihan tentera di Filipina, yang merupakan negara sekutu pertahanan bagi Washington.

China juga berkali-kali menggesa agar penggunaan sistem itu ditarik balik.

"Saya tidak faham komen mengenai sistem peluru berpandu Typhon. Kami tidak pernah mengeluarkan sebarang komen mengenai sistem peluru berpandu mereka dan sistem mereka bahkan beribu kali lebih berkuasa daripada sistem yang kita ada," kata Presiden Marcos.

"Mari kita buat perjanjian dengan China: hentikan tuntutan terhadap wilayah kami, hentikan gangguan terhadap nelayan kami dan biarkan mereka mencari pendapatan, hentikan rempuhan terhadap bot kami, hentikan penggunaan meriam air terhadap penduduk kami, hentikan perbuatan anda menembak laser ke arah kami dan hentikan tindakan agresif dan memaksa anda dan baru saya akan pulangkan peluru berpandu Typhon itu," tegas Presiden Marcos.

Beijing yang menuntut kedaulatan terhadap sebahagian besar kawasan Laut China Selatan, telah berkali-kali menuduh kapal Filipina menceroboh masuk ke dalam wilayah mereka.

Hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu bertambah keruh sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas beberapa kali berlaku pertikaian diplomatik.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita