Presiden Marcos Jr. akan lawat Amerika selepas tarif 20% diumum ke atas semua import Filipina
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. akan mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat menyusuli pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai tarif 20 peratus ke atas semua import dari negara itu, menurut Kementerian Luar Filipina pada Jumaat (11 Jul), lapor Sputnik/RIA Novosti.
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menyampaikan ucapan Negara di Dewan Perwakilan Quezon City, pinggir bandar Manila, pada 25 Jul 2022. (Gambar fail: AFP/Jam Sta Rosa, Pool)
“Kami sedang bekerjasama dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk memuktamadkan butiran lawatan ini. Maklumat lanjut akan dikongsi sebaik sahaja dimuktamadkan,” menurut kenyataan tersebut.
Lawatan itu dijadualkan pada 20 hingga 22 Julai. Bagaimanapun, Kementerian Luar Filipina masih belum mengesahkan sama ada pertemuan antara Encik Marcos Jr. dan Encik Trump akan diadakan.
Pada 9 Julai, Washington mengumumkan pelaksanaan tarif 20 peratus ke atas barangan Filipina. Tarif tersebut akan dikuatkuasakan pada 1 Ogos.
Sebagai tindak balas, Duta Filipina ke Amerika Syarikat Jose Manuel Romualdez berkata bahawa Manila berhasrat untuk memohon semakan semula terhadap keputusan tarif tersebut.
Pada 2 April, Encik Trump menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif timbal balik 10 peratus ke atas import, dengan kadar lebih tinggi ke atas 57 negara bermula 9 April, berdasarkan defisit perdagangan Amerika Syarikat.
Selepas lebih 75 negara memilih untuk berunding berbanding bertindak balas, kadar asas 10 peratus dikenakan untuk tempoh 90 hari sehingga 9 Julai.
Dua hari sebelum tarikh akhir itu, Encik Trump memanjangkan penangguhan tarif lebih tinggi sehingga 1 Ogos, namun memaklumkan beberapa negara bahawa kadar tarif lebih tinggi akan dikenakan bermula tarikh itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.