Skip to main content

Dunia

Presiden Maduro dan isterinya akan hadapi tuduhan dadah, pengganasan narkotik

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Maduro dan isterinya akan hadapi tuduhan dadah, pengganasan narkotik
Kebakaran di Fuerte Tiuna, kompleks tentera terbesar Venezuela, dilihat dari jauh selepas satu siri letupan di Caracas pada 3 Januari 2026. (Gambar: AFP/STR)
Diterbitkan : 03 Jan 2026 11:53PM Dikemas Kini : 04 Jan 2026 12:01AM
CARACAS: Pentadbiran Trump berkata pada Sabtu (3 Jan) bahawa pemimpin Venezuela yang ditangkap, Nicolas Maduro dan isterinya akan menghadapi "keadilan penuh Amerika" selepas mereka dikenakan pertuduhan berkaitan dadah dan keganasan.

"Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, telah didakwa di Daerah Selatan New York," kata Peguam Negara Pamela Bondi di X. "Nicolas Maduro telah didakwa atas pertuduhan Konspirasi Narko-Keganasan, Konspirasi Pengimportan Kokain, Pemilikan Mesingan dan Alat Pemusnah, dan Konspirasi untuk Memiliki Mesingan dan Alat Pemusnah terhadap Amerika Syarikat."

Cik Bondi berterima kasih kepada Presiden Donald Trump kerana "berani menuntut kebertanggungjawaban bagi pihak rakyat Amerika" serta tentera Amerika atas "misi yang luar biasa dan sangat berjaya" dalam menangkap Encik Maduro dan isterinya.

Presiden Trump sebelum ini berkata pada Sabtu bahawa tentera Amerika menangkap Encik Maduro selepas melancarkan "serangan berskala besar" ke atas negara Amerika Selatan itu.

"Amerika Syarikat telah berjaya melaksanakan serangan berskala besar terhadap Venezuela dan pemimpinnya, Presiden Nicolas Maduro, yang telah, bersama isterinya, ditangkap dan diterbangkan keluar dari negara itu," kata Encik Trump di platform Truth Social beliau.

Encik Trump menambah beliau akan mengadakan sidang akhbar pada pukul 11.00 pagi waktu tempatan (12.00 pagi waktu Singapura) di kediaman Mar-a-Lago beliau di Florida.

Encik Maduro pada mulanya didakwa pada Mac 2020 atas tuduhan konspirasi "narko-keganasan" di daerah selatan New York.

Kali terakhir beliau muncul di TV negara itu ialah pada pada Jumaat semasa bertemu dengan delegasi pegawai China di Caracas.

Senator Utah Mike Lee mengeluarkan catatan di X bahawa beliau sudahpun bercakap dengan Setiausaha Negara Marco Rubio, yang memberi taklimat kepadanya mengenai serangan itu. Encik Rubio "menjangkakan tiada tindakan lanjut di Venezuela sekarang setelah Encik Maduro berada dalam tahanan Amerika Syarikat", Encik Lee menulis lagi di X.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita