Presiden Macron tawar Perancis sebagai rakan boleh dipercayai dalam lawatannya ke Asia
Presiden Perancis Emmanuel Macron akan mengadakan lawatan ke Asia Tenggara untuk menawarkan Perancis dan Eropah sebagai rakan yang boleh dipercayai "tanpa sebarang syarat tersembunyi", sedang Amerika Syarikat dan China menggunakan pendekatan yang lebih agresif untuk meraih pengaruh di rantau tersebut, menurut pegawai rasmi.

Presiden Perancis Emmanuel Macron berucap pada Sidang Kemuncak Choose France yang bertujuan menarik pelabur asing ke negara itu, di Chateau de Versailles, berhampiran Paris, Perancis pada 19 Mei 2025. (Gambar fail: REUTERS/Pool/Gonzalo Fuentes)
Encik Macron dijadual tiba di Hanoi pada Ahad (25 Mei), dalam lawatan pertama oleh seorang presiden Perancis ke Vietnam dalam tempoh hampir sedekad, sebelum meneruskan perjalanan ke Indonesia dan menamatkan lawatannya di Singapura, di mana beliau akan berucap di Dialog Shangri-La, persidangan pertahanan utama Asia.
Encik Macron akan menampilkan Perancis dan Eropah sebagai pendukung kerjasama antarabangsa dan perdagangan berasaskan peraturan, ketika kuasa-kuasa besar lain seperti Amerika Syarikat di bawah naungan Presiden Donald Trump dan China menggunakan kaedah yang lebih kearah“pemaksaan” atau “penindasan”.
“Bagi kami, kami mempertahankan prinsip perdagangan antarabangsa yang berasaskan peraturan, kami tidak menyokong ‘undang-undang rimba’ yang mementingkan pihak yang paling kuat,” kata seorang penasihat presiden Perancis pada Rabu (21 Mei).
Vietnam, yang sangat bergantung kepada eksport, terkejut dengan ancaman tarif tinggi dari Amerika Syarikat, manakala Perancis pula berhasrat mempelbagaikan sumber bekalan dan pasarannya bagi mengurangkan kebergantungan kepada China. Puluhan perjanjian sedang disiapkan dan mungkin akan ditandatangani sepanjang tiga lawatan negara itu, menurut Istana Elysee kepada Reuters sebelum ini.
Lawatan Encik Macron menyusuli lawatan pemimpin dari China, Jepun dan negara Eropah lain ke rantau Asia Tenggara dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Ia mencerminkan kepentingan strategik rantau berkenaan di tengah-tengah ketidaktentuan rantaian bekalan dan perdagangan global.
Presiden Perancis itu juga akan memanfaatkan ucapannya kepada para pelajar Indonesia dan bagi persidangan di Singapura untuk menjelaskan “salah faham” tentang pendirian Eropah terhadap konflik di luar rantau tersebut, dengan menafikan sebarang sikap pilih kasih terhadap isu Gaza di samping menegaskan bahawa Ukraine bukan suatu isu yang terhad kepada Eropah sahaja.
Kritikan Encik Macron terhadap Israel semakin lantang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk menyifatkan tindakan Encik Benjamin Netanyahu di Gaza sebagai “memalukan”, satu kenyataan yang diharap mendapat sambutan positif di Indonesia, negara majoriti Muslim terbesar di dunia.
Apabila ditanya sama ada Indonesia, yang telah membeli jet pejuang Rafale buatan Perancis, memerlukan jaminan selepas sekurang-kurangnya satu pesawat yang sama milik tentera India ditembak jatuh oleh Pakistan, penasihat presiden Perancis itu berkata bahawa lawatan tersebut bukan bertujuan untuk membincangkan "isu berita" tertentu.
“Tidak seperti Amerika Syarikat atau negara lain, rakan kongsi Perancis tahu bahawa kerjasama dengan kami 'tidak disertakan dengan sebarang syarat tersembunyi',” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.