Skip to main content

Dunia

Presiden Lubnan kecam serangan baharu Israel, gesa masyarakat antarabangsa bertindak

Presiden Lubnan Joseph Aoun pada Ahad (6 Sep) mengecam serangan baharu Israel ke atas bandar Nabatieh di selatan negara itu dan kawasan sekitarnya, sambil menyifatkan serangan terhadap institusi pemerintah dan kemudahan kesihatan sebagai “peningkatan ketegangan yang berbahaya”.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Lubnan kecam serangan baharu Israel, gesa masyarakat antarabangsa bertindak

Orang ramai mengusung jenazah seorang mangsa yang terbunuh selepas sebuah rumah terkena serangan udara Israel di perkampungan Arab Salim, selatan Lubnan pada 6 September 2026. (Gambar: AP/Mohammed Zaatari)

Diterbitkan : 06 Sep 2026 11:44PM
  • Presiden Lubnan Joseph Aoun mengecam serangan udara Israel ke atas Nabatieh dan kawasan sekitarnya yang berlaku pada 6 September.
  • Serangan tersebut mengorbankan empat orang, mencederakan 20, serta memusnahkan Hospital Ghandour dan merosakkan bangunan Kementerian Kewangan.
  • Sejak 2 Mac 2026, 17 hospital di Lubnan rosak akibat serangan Israel, dengan tiga hospital di selatan tidak lagi beroperasi dan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.
  • Presiden Aoun menuduh Israel sengaja mengganggu institusi awam dan menggesa Amerika Syarikat serta masyarakat antarabangsa bertindak segera menghentikan serangan.
Dijana oleh AI
ISTANBUL: Presiden Lubnan Joseph Aoun pada Ahad (6 Sep) mengecam serangan baharu Israel ke atas bandar Nabatieh di selatan negara itu dan kawasan sekitarnya, sambil menyifatkan serangan terhadap institusi pemerintah dan kemudahan kesihatan sebagai “peningkatan ketegangan yang berbahaya”.

Dalam kenyataan di X, Encik Aoun berkata serangan itu mengakibatkan korban awam, merosakkan dengan teruk sebuah bangunan Kementerian Kewangan dan memusnahkan Hospital Ghandour.

Beliau berkata serangan tersebut melangkaui pelanggaran berulang terhadap aturan penghentian permusuhan dan perjanjian rangka kerja, dengan turut menyasarkan institusi pemerintah serta kemudahan awam dan kesihatan Lubnan.

Menurutnya, serangan terhadap bangunan Kementerian Kewangan, selepas serangan terdahulu ke atas sebuah pusat Keselamatan Negara yang mengakibatkan korban jiwa, menunjukkan “corak berterusan” serangan terhadap kemudahan awam.

Encik Aoun menuduh Israel cuba mengganggu operasi institusi dan perkhidmatan awam Lubnan.

Beliau menggesa Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa agar bertindak segera untuk menghentikan serangan dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.

EMPAT TERBUNUH, 20 CEDERA

Beberapa serangan udara Israel ke atas Nabatieh dan kawasan sekitarnya pada Ahad (6 Sep) mengorbankan empat orang dan mencederakan 20 yang lain, menurut angka awal Kementerian Kesihatan Lubnan.

Kementerian itu menyatakan Hospital Ghandour di Nabatieh al-Fawqa musnah sepenuhnya dalam serangan tersebut.

17 hospital di seluruh Lubnan dilaporkan mengalami kerosakan akibat serangan Israel sejak 2 Mac 2026, manakala tiga hospital di selatan Lubnan tidak lagi dapat beroperasi.

Serangan itu berlaku meskipun terdapat perjanjian rangka kerja yang ditaja Amerika dan ditandatangani pada 26 Jun 2026, yang memperuntukkan pengunduran Israel secara berperingkat dari wilayah Lubnan sebagai pertukaran bagi kerahan tentera Lubnan.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, serangan Israel sejak 2 Mac 2026 telah mengorbankan 4,358 orang dan mencederakan 12,359 yang lain, manakala lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita