Skip to main content

Dunia

Presiden Korea Selatan tubuh pasukan baharu siasat rempuhan maut pada 2022

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung, mengarahkan sebuah pasukan penyiasat yang baharu ditubuhkan, melibatkan pihak polis dan pendakwa raya untuk menyiasat kejadian rempuhan maut semasa sambutan Halloween pada 2022 yang meragut 159 nyawa, kebanyakannya anak muda, menurut jurucakapnya pada Khamis (17 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Korea Selatan tubuh pasukan baharu siasat rempuhan maut pada 2022

Seorang individu membakar colok sebagai tanda penghormatan di sebuah lorong di Seoul pada 29 Oktober 2024, lokasi tragedi rempuhan yang meragut 159 nyawa semasa sambutan Halloween di Itaewon pada 2022. (Gambar fail: AFP/Shin Yong-ju)

SEOUL: Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung, mengarahkan sebuah pasukan penyiasat yang baharu ditubuhkan, melibatkan pihak polis dan pendakwa raya untuk menyiasat kejadian rempuhan maut semasa sambutan Halloween pada 2022 yang meragut 159 nyawa, kebanyakannya anak muda, menurut jurucakapnya pada Khamis (17 Jul).

Langkah Presiden Lee untuk melancarkan siasatan baharu itu diumumkan semasa beliau bertemu dengan keluarga-keluarga mangsa yang terkorban menyusuli beberapa bencana besar baru-baru ini, termasuk kejadian rempuhan di daerah Itaewon di Seoul, kata jurucakap Kang Yu-jung dalam satu taklimat.

Encik Lee, yang mula memegang jawatan pada Jun, sebelum ini berikrar akan menjadikan Korea Selatan lebih selamat, di samping mengelakkan bencana-bencana serupa daripada berulang, sebahagian besarnya dikaitkan dengan kelemahan pihak berkuasa bertindak balas.

Presiden Lee berkata pasukan penyiasat baharu itu akan bekerjasama dengan suruhanjaya khas yang ditubuhkan pada September lalu untuk menyiasat kes berkenaan, menurut jurucakapnya.

Dalam pertemuan dengan Encik Lee, Song Hae-jin, wakil para keluarga mangsa rempuhan, mengatakan bahawa rekod polis dan maklumat berkaitan tindak balas pemerintah terhadap tragedi itu disekat daripada suruhanjaya khas tersebut.

Dalam pertemuannya dengan keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang, Encik Lee tunduk hormat sebagai tanda memohon maaf atas sebarang kegagalan oleh pihak berkuasa.

“Sebagai ketua negara, saya ingin memohon maaf secara rasmi bagi pihak pemerintah kerana gagal melaksanakan tanggungjawab untuk melindungi nyawa dan keselamatan rakyat, serta atas kehilangan begitu ramai nyawa akibat tragedi ini,” katanya, dengan beberapa ahli keluarga dilihat menitiskan air mata.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita