Skip to main content

Dunia

Presiden Korea Selatan isytihar undang-undang tentera darurat

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Korea Selatan isytihar undang-undang tentera darurat

Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol di televisyen. (Gambar: AP/Ahn Young-joon)

Diterbitkan : 03 Dec 2024 10:53PM Dikemas Kini : 03 Dec 2024 10:54PM
SEOUL: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Selasa (3 Dis) mengisytiharkan undang-undang tentera darurat, sambil menegaskan bahawa langkah itu perlu untuk melindungi negara tersebut daripada "pasukan komunis".

"Untuk melindungi Korea Selatan yang liberal daripada ancaman yang ditimbulkan oleh tentera komunis Korea Utara dan untuk menghapuskan unsur-unsur anti-pemerintah... Saya dengan ini mengisytiharkan undang-undang tentera darurat," kata Encik Yoon dalam ucapan langsung di televisyen kepada seluruh rakyat negara itu.

Encik Yoon menuduh pembangkang melakukan aktiviti anti-pemerintah dan berkata pentadbiran pemerintah lumpuh atas tindak-tanduk parti pembangkang.

Pemimpin Korea Selatan itu menambah bahawa beliau akan membina semula Korea Selatan yang bebas dan demokratik melalui undang-undang tentera.

Encik Yoon bagaimanapun tidak pula menyatakan dalam ucapannya itu apakah langkah khusus yang akan diambil.

Encik Yoon memetik usul oleh parti pembangkang iaitu Parti Demokrat, yang mempunyai kuasa majoriti di Parlimen, untuk mendakwa beberapa pendakwa raya kanan negara itu dan penolakannya terhadap saranan belanjawan pemerintah.

Sejak beliau menyandang jawatan presiden pada 2022, Encik Yoon - yang sokongan terhadapnya semakin merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini - bergelut untuk mengetengahkan agendanya di Parlimen yang dikuasai parti pembangkang.

Parti Demokrat dilaporkan telah mengadakan mesyuarat tergempar melibatkan penggubal undang-undangnya berikutan pengumuman Encik Yoon.
Sumber : AGENCIES/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita