Skip to main content

Dunia

Presiden Korea Selatan ikrar dedah hasil siasatan 'telus' setahun selepas nahas Jeju Air

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Isnin (29 Dis) memohon maaf daripada keluarga 179 mangsa yang terkorban dalam nahas Jeju Air pada tahun lalu.
Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Korea Selatan ikrar dedah hasil siasatan 'telus' setahun selepas nahas Jeju Air

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung tiba di pejabat presiden di Seoul, Korea Selatan, 29 Disember 2025. (Gambar: Reuters/Jeon Heon-Kyun)

Diterbitkan : 29 Dec 2025 11:49AM Dikemas Kini : 29 Dec 2025 11:51AM
SEOUL: Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Isnin (29 Dis) memohon maaf daripada keluarga 179 mangsa yang terkorban dalam nahas Jeju Air pada tahun lalu.

Beliau turut berikrar akan mendedahkan hasil siasatan yang 'telus dan menyeluruh' di sebalik nahas pesawat terburuk yang pernah berlaku di negara itu.

"Sebagai presiden yang tanggungjawabnya ialah melindungi nyawa dan keselamatan rakyatnya, saya benar-benar memohon maaf," kata Encik Lee dalam satu mesej yang diterbitkan pada Isnin (29 Dis).

Para keluarga mangsa nahas itu menuntut jawapan mengenai nahas tersebut selepas para penyiasat menangguhkan penerbitan laporan berhubung kejadian pada 29 Disember 2024 apabila sebuah pesawat Jeju Air terhempas lalu merempuh tembok di penghujung landasan.

Pesawat itu kemudian meletup, mengorbankan semua orang kecuali dua daripada 181 individu dalam pesawat itu.

Lembaga Siasatan Kemalangan Penerbangan dan Kereta Api yang dipimpin pemerintah Korea Selatan menyatakan dalam satu laporan awal pada Januari lalu bahawa kedua-dua enjin pesawat itu mengalami kerosakan setelah melanggar burung.

Namun demikian, ia menimbulkan tanda tanya berhubung kelemahan keselamatan, reka bentuk landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di mana kemalangan itu berlaku dan apakah tindakan para juruterbang beberapa minit sebelum pesawat itu terhempas.

"Nahas itu jelas mendedahkan isu sistematik dan kekangan dalam masyarakat kita," kata Encik Lee. "Apa yang diperlukan sekarang bukan janji-janji kosong tetapi perubahan dan tindakan yang nyata."

Parlimen negara itu sedang menyemak pelan untuk merombak lembaga siasatan nahas penerbangan untuk memastikan ia bebas dan cekap.

Anggota keluarga mangsa dijadual mengadakan upacara peringatan pada Isnin (29 Dis) di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di barat daya negara itu sempena ulang tahun pertama nahas itu.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita