Skip to main content

Dunia

Presiden Korea Selatan gesa Amerika longgarkan sekatan terhadap Korea Utara

Anggaran Waktu Membaca:
 Presiden Korea Selatan gesa Amerika longgarkan sekatan terhadap Korea Utara

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung berucap dalam sidang media di Rumah Biru, Seoul, pada 18 Sep 2026. (Gambar fail: Pool menerusi Reuters)

Diterbitkan : 22 Sep 2026 02:23PM Dikemas Kini : 22 Sep 2026 02:24PM
South Korean president urges the United States to ease sanctions on North Korea
  • South Korean President Lee Jae Myung urged the United States to ease sanctions on North Korea if Pyongyang agrees to freeze or dismantle its nuclear programme.
  • He said full denuclearisation is unrealistic for now, and proposed a phased approach through incentives, easing measures and confidence-building.
  • Seoul is now moving towards a “peace first” policy because the deadlock is seen as dangerous, including the risk of North Korea expanding or exporting nuclear weapons.
  • Inter-Korean relations remain tense after Kim Jong Un rejected reunification, while Donald Trump wants to meet him again and Lee will present his vision at the UN this week.
Dijana oleh AI

SEOUL: Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung menggesa Amerika Syarikat  melonggarkan sekatan terhadap Korea Utara sebagai ganti jika Pyongyang bersetuju untuk melucutkan program senjata nuklearnya, lapor New York Times.

“Saya percaya ada manfaat besar jika sekatan - yang sebenarnya tidak begitu berkesan - dilonggarkan sebagai ganti untuk menghentikan pembangunan senjata nuklear tambahan dan teknologi peluru berpandu balistik rentas benua,” kata Encik Lee dalam satu wawancara yang dipetik akhbar itu.

Encik Lee berkata usaha untuk melucutkan sepenuhnya senjata nuklear Korea Utara dalam keadaan sekarang mungkin tidak akan membawa sebarang hasil.

Menurutnya lagi, langkah pertama adalah untuk mendapatkan persetujuan Korea Utara untuk membekukan program nuklearnya. Selepas itu, kepercayaan boleh dibina secara berperingkat menerusi insentif dan kelonggaran daripada kedua-dua pihak, dengan matlamat akhirnya untuk meyakinkan Pyongyang supaya mengurangkan senjata nuklearnya.

Encik Lee berkata kebuntuan sekarang terlalu berbahaya untuk dibiarkan berterusan.

Beliau merujuk kepada penilaian Korea Selatan bahawa Korea Utara kini mampu menghasilkan - atau mungkin sudah menghasilkan - antara 10 hingga 20 senjata nuklear tambahan setiap tahun.

“Apabila mereka merasakan sudah mempunyai cukup senjata nuklear dan peluru berpandu untuk menjamin kelangsungan negara, mereka mungkin terdorong untuk mengeksport senjata itu bagi mendapatkan wang,” katanya.

“Itu akan menjadi keadaan yang benar-benar berbahaya.”

Para pegawai Korea Selatan sebelum ini berkata Seoul sedang beralih daripada pendekatan yang mengutamakan “pelucutan senjata nuklear terlebih dahulu” kepada pendekatan “keamanan terlebih dahulu” dalam hubungannya dengan Korea Utara.

Encik Lee juga berjanji tahun lalu untuk menghormati sistem Korea Utara dan berusaha mewujudkan kehidupan bersama secara aman dengan Pyongyang.

Bagaimanapun, hubungan antara kedua-dua Korea masih tegang.

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sudah meninggalkan dasar penyatuan semula dengan Korea Selatan, sambil menyifatkan Korea Selatan sebagai negara yang paling bermusuhan dengannya dan mengarahkan pertahanan di kawasan sempadan diperkukuh.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula mahu mengadakan satu lagi pertemuan dengan Encik Kim, dan Encik Lee berkata beliau berharap rundingan itu dapat berlangsung.

Encik Lee dijangka membentangkan visinya mengenai keamanan dan kehidupan bersama di Semenanjung Korea kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa Perhimpunan Agung PBB minggu ini.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita