Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Jokowi sampaikan takziah kepada keluarga 53 anak kapal selam KRI Nanggala 402

Presiden Indonesia Joko Widodo har ini (25 Apr) berkata bahawa kapal selam negara itu yang hilang sudah ditemui tenggelam di Laut Bali dan bahawa beliau sudah menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga 53 anak kapal selam itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Jokowi sampaikan takziah kepada keluarga 53 anak kapal selam KRI Nanggala 402

(Gambar: Facebook/Pusat Penerangan TNI)

Diterbitkan : 25 Apr 2021 05:03PM Dikemas Kini : 25 Apr 2021 05:06PM

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo har ini (25 Apr) berkata bahawa kapal selam negara itu yang hilang sudah ditemui tenggelam di Laut Bali dan bahawa beliau sudah menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga 53 anak kapal selam itu.

"Saya telah mendapatkan laporan dari Panglima TNI dan KSAL tentang upaya pencarian dan penyelamatan kapal selam KRI Nanggala-402 pada hari Sabtu, 24 April 2021 kemarin. TNI Angkatan Laut telah menaikkan status KRI Nanggala-402 dari hilang kontak atau submiss menjadi tenggelam atau subsunk," kata Presiden Jokowi semasa satu sidang media secara maya.

Menurut beliau lagi, musibah itu mengejutkan seluruh rakyat Indonesia, bukan hanya keluarga 53 anak kapal, keluarga Hiu Kencana dan keluarga besar TNI Angkatan Laut.

"Kita semua bangsa Indonesia menyampaikan kesedihan yang mendalam atas musibah ini, khususnya kepada seluruh keluarga awak kapal selam. Mereka adalah putra-putra terbaik bangsa, patriot terbaik penjaga kedaulatan negara," kata pemimpin Indonesia itu lagi.

KRI Nanggala-402 yang berusia 44 tahun itu terputus hubungan pada Rabu ketika ia bersiap untuk melakukan latihan torpedo.

Pasukan pencarian menyatakan pada Sabtu bahawa mereka menemui beberapa objek termasuk serpihan sejadah dan sebotol pelincir periskop dekat lokasi terakhir diketahui kapal selam itu, menyebabkan tentera laut yakin kapal itu sudah retak.

Ketua Turus Tentera Laut Yudo Margono berkata pada Sabtu (24 Apr) bahawa imbasan sonar mengesan objek seperti kapal selam pada kedalaman 850 meter, di luar jarak selam Nanggala.

Belasan helikopter dan kapal sedang mencari di kawasan di mana kapal selam itu terputus hubungan, dengan Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Malaysia dan India menghulurkan bantuan.

Presiden Jokowi dalam pada itu berikrar bahawa segala upaya terbaik pencarian dan penyelamatan masih akan dilakukan.

"Untuk itu marilah semuanya kita memanjatkan doa dan harapan terbaik bagi 53 patriot terbaik penjaga kedaulatan negara dan bagi segenap anggota keluarga agar diberikan kesabaran, ketabahan, dan kekuatan," ujar beliau.

Penduduk bandar Banyuwangi di Jawa Timur, yang menempatkan pangkalan tentera laut dari mana operasi mencari dan menyelamat dilakukan, memberitahu Reuters mereka bersimpati dengan keluarga mangsa.

"Saya harap kapal selam itu dijumpai tidak lama lagi, tidak kira apa pun keadaannya, dan para anggota keluarga cukup tabah untuk menghadapi ini," kata seorang guru berusia 28 tahun, Umi Rosidah.

Penduduk Banyuwangi yang lain mengulangi seruan satu negara untuk memesatkan pemodenan pasukan pertahanan Indonesia.

"Ini boleh menjadi titik pembelajaran bagi pemerintah untuk memajukan teknologi ketenteraannya dan berhati-hati dalam menggunakan teknologi (yang ada) kerana kehidupan rakyatnya dipertaruhkan," kata penduduk berusia 29 tahun, Hein Ferdy Sentoso.

Indonesia sedang berusaha untuk meningkatkan kemampuan ketenteraannya, namun beberapa peralatannya masih lama dan terdapat kemalangan maut sejak beberapa tahun lalu.

Indonesia mempunyai lima kapal selam sebelum nahas terkini: dua jenis 209 buatan Jerman termasuk Nanggala dan tiga kapal Korea Selatan yang lebih baru.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan