Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Jokowi mahu Ganjar, Prabowo bergabung pada pilihan raya presiden 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Jokowi mahu Ganjar, Prabowo bergabung pada pilihan raya presiden 2024

(Dari kiri) Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto, Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pronowo dan Presiden Joko Widodo melawat sebuah sawah padi di Kebumen, Jawa Tengah pada 9 Mac 2023. (Gambar: Laily Rachev/Biro Media Sektretariat Presiden)

Diterbitkan : 26 May 2023 07:29PM Dikemas Kini : 26 May 2023 07:30PM

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo mahu Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo bergabung bersama Menteri Pertahanan Prabowo Subianto dalam pilihan raya presiden negara itu pada Februari 2024, menurut ketua kumpulan penyokong terbesar Encik Widodo pada Jumaat (26 Mei). 

Encik Budi Arie Setiadi, ketua kumpulan penyokong Pro Jokowi (Projo), memberitahu Mediacorp bahawa Presiden Jokowi sudah beberapa kali mendedahkan perkara itu kepadanya. 

"Beliau mahukan gabungan ini dari awal lagi, kira-kira tiga atau empat bulan lalu," kata Encik Setiadi, yang juga Wakil Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi dalam Kabinet Presiden Jokowi. 

"Beliau memberitahu saya perkara itu apabila kami bertemu pada 14 Mei di sebuah acara," tambahnya, sambil merujuk kepada perhimpunan Projo di Jakarta yang dihadiri Presiden Jokowi. 

Encik Setiadi mendakwa Presiden Jokowi sedang berusaha bagi Encik Ganjar bergabung bersama Encik Prabowo pada pilihan raya tahun depan. 

"Kerana mereka akan menjadi pasangan yang kuat dan mempunyai kepimpinan yang kukuh.

"Jika Prabowo-Ganjar atau Ganjar-Prabowo bergabung, tidak ada lagi gabungan (calon presiden dan naib presiden) lain boleh menumpaskan mereka. Mereka sangat kuat," ujar Encik Setiadi. 

Katanya lagi, terdapat tanda-tanda menunjukkan hasrat Presiden Jokowi untuk  kedua-dua calon itu bergabung, seperti apabila Presiden Jokowi, Encik Prabowo dan Encik Ganjar melawat sebuah sawah padi di Jawa Tengah bersama-sama  pada Mac.

Namun, Encik Setiadi menarik perhatian bahawa "tidak mudah" bagi kedua-dua ahli politik itu untuk bergabung kerana masih belum jelas siapa yang akan bertanding sebagai presiden dan naib presiden. 

Encik Ganjar dan Presiden Jokowi adalah anggota Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P). 

PDI-P bulan lalu mengumumkan bahawa Encik Ganjar adalah calon presidennya pada pilihan raya akan datang. 

Sementara itu, Encik Prabowo pada tahun lalu meluahkan hasratnya untuk bertanding pada pilihan raya 2024. 

Ketua Parti Gerindra itu sudah dua kali bertanding untuk jawatan presiden, tetapi kalah kepada Encik Jokowi pada setiap kali. 

Menurut beberapa tinjauan pendapat, Encik Ganjar, Encik Prabowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan - yang juga sudah meluahkan hasratnya untuk bertanding - merupakan calon presiden yang paling digemari. 

Tinjauan yang dilakukan oleh Litbang Kompas, cabang kajian akhbar Indonesia Kompas, antara 29 April hingga 10 Mei menunjukkan bahawa Encik Prabowo paling berpotensi dilantik dengan 24.5 peratus, naik enam peratus berbanding tinjauan yang dilakukan sebelum ini pada Januari. 

Dalam tinjauan yang dikeluarkan minggu ini, Encik Ganjar berada di tempat kedua dengan 22.8 peratus undi, turun daripada 25 peratus sebelum ini. 

Encik Anies Baswedan pula mencatatkan 13.6 peratus undi, menurut Litbang Kompas. 

Keputusan tinjauan baru-baru ini menyulitkan lagi gabungan antara Encik Ganjar dan Encik Prabowo, kata Encik Setiadi. 

"Tetapi tinjauan baru-baru ini oleh Litbang Kompas menunjukkan perbezaan antara kedua-dua ahli politik itu sangat kecil. Tinjauan itu menunjukkan Encik Prabowo mendahului Encik Ganjar, tetapi dalam tinjauan-tinjauan sebelum ini, Encik Ganjar di depan hadapan," ujarnya. 

Pada Khamis (25 Mei), Encik Prabowo bertemu dengan Presiden Jokowi di istana presiden di Bogor, Jawa Barat, iaitu tempat tinggal presiden. 

Tiada kenyataan media yang dikeluarkan secara rasmi berhubung pertemuan itu, tetapi pegawai kanan parti Gerindra, Sufmi Dasco Ahmad, berkata, pertemuan sedemikian "biasa berlaku". 

Rakyat Indonesia akan keluar mengundi dalam pilihan raya presiden pada 14 Februari 2024. 

Calon presiden dan naib presiden dikehendaki mendaftar dengan suruhanjaya pilihan raya pada Oktober.

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan