Skip to main content

Dunia

Presiden Israel terima keputusan pilihan raya, mula rundingan bentuk pemerintah baharu

Presiden Israel Isaac Herzog pada Rabu (4 Nov) menerima keputusan rasmi pilihan raya Parlimen negara itu sebagai sah di sisi undang-undang dan memulakan rundingan dengan wakil parti-parti politik bagi membentuk pemerintah baharu.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Israel terima keputusan pilihan raya, mula rundingan bentuk pemerintah baharu

Para penunjuk perasaan berhaluan kanan memegang gambar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa perhimpunan menyokong beliau di Dataran Habima, Tel Aviv, pada 31 Oktober 2026, menyusuli pilihan raya umum Israel. (Gambar: AFP/Jack Guez)

Diterbitkan : 05 Nov 2026 09:54AM
  • Pada 4 November di Israel, Presiden Isaac Herzog menerima keputusan pilihan raya 27 Oktober sebagai sah dan memulakan rundingan pembentukan pemerintah selepas blok Benjamin Netanyahu dan Gadi Eisenkot gagal meraih majoriti.
  • Suruhanjaya Pilihan Raya, diketuai hakim Noam Sohlberg, tidak menemui bukti penipuan dan memberi amaran bahawa mempertikaikan keputusan boleh menjejaskan keyakinan terhadap demokrasi.
  • Shin Bet masih menyiasat dakwaan dana serta campur tangan asing tanpa mengemukakan bukti; peguam negara pula menolak permintaan menyoal siasat wakil rakyat Arab kerana tiada asas mencukupi.
  • Herzog akan memilih calon paling berpeluang membentuk gabungan selepas bertemu parti-parti; kebuntuan rundingan boleh membawa kepada pilihan raya baharu awal tahun depan, sementara beliau menolak tuduhan tidak berasas terhadap pengundi Arab.
Dijana oleh AI

BAITULMAKDIS: Presiden Israel Isaac Herzog pada Rabu (4 Nov) menerima keputusan rasmi pilihan raya Parlimen negara itu sebagai sah di sisi undang-undang dan memulakan rundingan dengan wakil parti-parti politik bagi membentuk pemerintah baharu.

Langkah tersebut menjadi tamparan kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang berulang kali mempertikaikan keputusan pilihan raya pada 27 Oktober lalu, selepas gabungannya kehilangan majoriti di Parlimen atau Knesset.

Encik Herzog menegaskan bahawa pilihan raya sudah berakhir dan semua pihak perlu menerima kenyataan tersebut.

Encik Netanyahu dan para penyokongnya sebelum ini membuat dakwaan tanpa bukti bahawa parti-parti pimpinan masyarakat Arab telah 'mencuri' pilihan raya itu, termasuk kemungkinan mendapat bantuan asing.

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA TIDAK TEMUI BUKTI PENIPUAN

Suruhanjaya Pilihan Raya Israel pada Rabu (4 Nov) menyatakan bahawa siasatan menyeluruh terhadap dakwaan penipuan yang dikemukakan parti-parti politik tidak menemui sebarang bukti penyelewengan yang menjejas ketelusan atau keputusan pilihan raya.

Ketua suruhanjaya itu, Hakim Mahkamah Agung Noam Sohlberg, menegaskan bahawa keputusan pilihan raya tersebut mengikat dari segi undang-undang.

Beliau turut memberi amaran bahawa usaha mempertikaikan keputusan pilihan raya boleh menjejas keyakinan masyarakat terhadap proses demokrasi.

Bagaimanapun, agensi risikan domestik Israel, Shin Bet, masih menjalankan siasatan berasingan terhadap dakwaan campur tangan asing dalam pilihan raya itu.

Dalam satu penilaian risikan yang dibentangkan semasa mesyuarat tertutup, Shin Bet mendakwa terdapat kemasukan dana yang besar ke Israel dari negara-negara asing, termasuk negara yang bermusuhan dengan Israel.

Namun, agensi itu tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Encik Sohlberg menegaskan bahawa dakwaan berkenaan masih merupakan syak wasangka dan sekalipun terbukti, kemungkinan kesannya terhadap keputusan pilihan raya adalah terhad.

NETANYAHU, EISENKOT GAGAL RAIH MAJORITI

Dalam pilihan raya pada 27 Oktober lalu, kedua-dua blok pimpinan Encik Netanyahu dan ketua pembangkang Gadi Eisenkot gagal memperoleh majoriti yang diperlukan untuk membentuk pemerintah.

Keputusan itu membuka kemungkinan kerjasama antara kedua-dua pemimpin berkenaan atau pakatan antara Encik Eisenkot dengan parti-parti pimpinan masyarakat Arab yang mencatatkan kemenangan bersejarah.

Encik Herzog memulakan rundingan dengan wakil parti-parti politik pada malam Rabu.

Tiga parti yang menyokong blok nasionalis agama Encik Netanyahu mencadangkan supaya beliau diberi peluang membentuk pemerintah.

Sebuah lagi parti yang dipimpin bekas sekutu Encik Netanyahu pula mencadangkan Encik Eisenkot.

Lapan lagi parti, termasuk dua gabungan pimpinan masyarakat Arab, dijadual mengadakan pertemuan dengan Encik Herzog pada Khamis (5 Nov).

Selepas rundingan tersebut, Encik Herzog akan memilih calon yang dianggap paling berkemungkinan berjaya membentuk pemerintah gabungan.

Beliau mempunyai beberapa hari untuk mengumumkan keputusannya, sebelum rundingan pembentukan pemerintah yang dijangka mengambil masa beberapa minggu bermula.

Sekiranya tiada calon berjaya membentuk pemerintah, Israel mungkin terpaksa mengadakan satu lagi pilihan raya pada awal tahun depan.

PERMINTAAN SOAL SIASAT PEMIMPIN ARAB DITOLAK

Dalam perkembangan berkaitan, Peguam Negara Israel Gali Baharav-Miara menolak permintaan Shin Bet untuk menyoal siasat beberapa wakil rakyat Arab berhubung dakwaan campur tangan asing.

Menurut laporan media Israel, antara individu yang mahu disoal siasat ialah pemimpin Parti Ra'am, Mansour Abbas, serta beberapa anggota kanan Parlimen daripada masyarakat Arab.

Cik Baharav-Miara menegaskan bahawa rakyat atau wakil rakyat tidak boleh disoal siasat tanpa bukti yang mewajarkan tindakan tersebut.

Gabungan parti Arab Joint List mengecam permintaan itu sebagai kempen menghasut oleh Encik Netanyahu dan sekutunya bagi menjejas kesahihan undi masyarakat Arab.

Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir pula menggesa supaya semua pemimpin parti politik Arab diberkas dan disoal siasat, walaupun beliau tidak mempunyai kuasa ke atas Shin Bet.

Encik Herzog menegaskan bahawa siasatan terhadap kemungkinan campur tangan asing perlu diteruskan, namun pengundi Arab Israel tidak seharusnya menjadi sasaran tuduhan tidak berasas.

Beliau turut mengecam kenyataan berbaur perkauman yang dibuat sejak kebelakangan ini.

Sumber : AP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita