Presiden Israel mula rundingan bentuk pemerintah baharu, Netanyahu dan Eisenkot gagal raih majoriti
Presiden Israel Isaac Herzog memulakan rundingan pada Rabu (4 Nov) bagi menentukan pemimpin yang akan diberi mandat membentuk pemerintah baharu, selepas pilihan raya yang menyaksikan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pesaingnya, Gadi Eisenkot, gagal memperoleh majoriti Parlimen.
Seorang pejalan kaki melintasi papan iklan kempen yang memaparkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu (kiri) dan pesaing utamanya, Gadi Eisenkot, dengan tulisan bahasa Ibrani yang bermaksud 'Persaingan sengit', di Tel Aviv, Israel, pada Jumaat (23 Okt 2026). (Gambar: AP/David Goldman)
- After Israel’s Oct 27 elections, President Isaac Herzog began talks on Nov 4 to choose a candidate to form the Government, as Benjamin Netanyahu’s and Gadi Eisenkot’s blocs won only 53 and 48 seats respectively.
- The two-day talks began with smaller parties before involving Likud and Yashar; both blocs need the cooperation of others to reach a majority of 61 of the 120 seats.
- Cooperation with Arab parties in Israel is a point of contention: Netanyahu has rejected their involvement, while Eisenkot and Opposition leaders want to replace him but have not explained how they would secure a majority.
- Herzog wants to explore dialogue and the possibility of a unity Government to avoid fresh elections; a candidate has 28 days, with a possible 14-day extension, while allegations of fraud against Arab parties are being investigated and no evidence has been presented so far.
- Selepas pilihan raya 27 Oktober di Israel, Presiden Isaac Herzog memulakan rundingan pada 4 November untuk memilih calon pembentuk pemerintah, ketika blok Benjamin Netanyahu dan Gadi Eisenkot masing-masing hanya memperoleh 53 dan 48 kerusi.
- Rundingan dua hari bermula dengan parti kecil sebelum melibatkan Likud dan Yashar; kedua-dua blok memerlukan kerjasama pihak lain untuk mencapai majoriti 61 daripada 120 kerusi.
- Kerjasama parti Arab Israel menjadi isu pertikaian: Netanyahu menolak penglibatan mereka, manakala Eisenkot dan pemimpin pembangkang mahu menggantikannya tetapi belum menerangkan cara memperoleh majoriti.
- Herzog mahu meneroka dialog dan kemungkinan pemerintah perpaduan bagi mengelakkan pilihan raya baharu; calon diberi 28 hari, kemungkinan lanjutan 14 hari, sementara dakwaan penipuan terhadap parti Arab disiasat tanpa bukti dikemukakan setakat itu.
BAITULMAKDIS: Presiden Israel Isaac Herzog memulakan rundingan pada Rabu (4 Nov) bagi menentukan pemimpin yang akan diberi mandat membentuk pemerintah baharu, selepas pilihan raya yang menyaksikan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pesaingnya, Gadi Eisenkot, gagal memperoleh majoriti Parlimen.
Walaupun jawatan Presiden Israel sebahagian besarnya bersifat istiadat, Encik Herzog mempunyai kuasa menentukan calon pertama yang akan diberi peluang membentuk pemerintah.
Proses itu mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan, malah berisiko membawa kepada pilihan raya baharu sekiranya tiada pihak berjaya membentuk gabungan pemerintah.
Selepas menerima keputusan rasmi pilihan raya 27 Oktober, Encik Herzog memulakan rundingan selama 2 hari dengan parti-parti politik pada 5.00 petang waktu tempatan, bermula dengan parti ultranasionalis Religious Zionism.
Pejabat Presiden Israel menyatakan rundingan dimulakan dengan parti-parti kecil bagi mendapatkan pandangan semua pihak, sebelum pertemuan dengan 2 parti terbesar pada lewat Khamis (5 Nov).
Kedua-dua parti itu ialah Likud pimpinan Encik Netanyahu dan Yashar, parti pembangkang berhaluan tengah hingga kanan tengah yang ditubuhkan Encik Eisenkot, bekas ketua tentera Israel.
KEDUA-DUA BLOK GAGAL CAPAI MAJORITI 61 KERUSI
Blok pimpinan Encik Netanyahu mempunyai kelebihan dengan 53 kerusi, berbanding 48 kerusi bagi blok Encik Eisenkot.
Bagaimanapun, kedua-duanya masih belum mencapai 61 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti dalam Parlimen Israel yang mempunyai 120 anggota.
Encik Eisenkot berpotensi mencapai majoriti sekiranya bekerjasama dengan parti-parti yang mewakili masyarakat Arab Israel, yang secara keseluruhan memenangi 19 kerusi.
Namun, sebahagian pemimpin pembangkang keberatan untuk bergantung kepada sokongan anggota Parlimen bukan Yahudi.
Encik Netanyahu pula menggesa pembentukan pemerintah gabungan yang luas tanpa melibatkan parti-parti Arab.
Beliau sebelum ini menuduh kumpulan politik Arab mencuri undi dalam pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun, pemimpin masyarakat Arab Israel menolak keras tuduhan itu.
Pada Selasa (3 Nov), Peguam Negara Israel meminta agensi perisikan domestik Shin Bet memberikan perkembangan siasatan terhadap dakwaan penipuan pilihan raya yang melibatkan parti-parti Arab Israel.
Beliau menyatakan bahawa tiada bukti dikemukakan setakat itu.
Encik Eisenkot pula menuduh Encik Netanyahu dan Parti Likud cuba melakukan serangan terhadap demokrasi Israel.
HERZOG MAHU ELAK PILIHAN RAYA BAHARU
Encik Herzog menyuarakan harapan agar parti-parti politik mempertimbangkan pendekatan baharu bagi mengatasi kebuntuan pembentukan pemerintah.
Pejabatnya menyatakan semua pilihan perlu diteroka, termasuk memperluas dialog dan mengadakan beberapa lagi pusingan rundingan sebelum keputusan dibuat.
Terdapat juga spekulasi bahawa beliau mungkin menggalakkan pembentukan pemerintah perpaduan bagi memulihkan kestabilan politik Israel selepas 3 tahun peperangan dan perpecahan politik yang semakin mendalam.
Mengikut proses pembentukan pemerintah Israel, calon yang menerima mandat Presiden mempunyai tempoh 28 hari untuk membentuk pemerintah, dengan kemungkinan lanjutan 14 hari.
Sekiranya gagal, mandat itu boleh diberikan kepada calon lain.
Jika usaha kedua juga gagal, majoriti anggota Parlimen boleh mencalonkan seorang pemimpin dalam tempoh 21 hari.
Kegagalan mencapai persetujuan akhirnya boleh menyebabkan pilihan raya baharu diadakan.
Israel sebelum ini mengadakan 5 pilihan raya antara 2019 dengan 2022 akibat kebuntuan politik.
Selepas pilihan raya November 2022, Encik Netanyahu mengambil masa 58 hari untuk membentuk pemerintah.
PEMBANGKANG TOLAK GABUNGAN BERSAMA NETANYAHU
Encik Netanyahu menggesa pembentukan pemerintah perpaduan nasional yang luas, dengan beliau terus menerajui pentadbiran.
Bagaimanapun, pemimpin pembangkang menolak cadangan tersebut, antara lain kerana mempertikaikan kepimpinannya dan kegagalan pemerintah Israel menghalang serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Dalam pertemuan pada Selasa (3 Nov), Encik Eisenkot dan pemimpin pembangkang lain berikrar mempercepat usaha membentuk pemerintah bagi menggantikan Encik Netanyahu.
Namun, mereka belum menjelaskan bagaimana majoriti Parlimen dapat diperoleh.
Ketua parti terbesar yang mewakili masyarakat Arab dalam Parlimen baharu, Yousef Jabareen, berkata pembangkang perlu menerima realiti politik dan bekerjasama bagi menyingkirkan Encik Netanyahu.
Encik Netanyahu pula berulang kali memberi amaran bahawa pembangkang akan bekerjasama dengan parti-parti Arab, yang dituduhnya menyokong Hamas.
Bagaimanapun, pemimpin parti-parti Arab Israel telah mengecam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Encik Netanyahu, yang merupakan Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel, turut berdepan pertuduhan rasuah.
Menjelang pilihan raya, beliau juga beberapa kali memberi amaran bahawa Israel boleh menyambung semula perang berskala penuh terhadap Iran bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Encik Eisenkot pula memberi amaran kepada tentera Israel supaya tidak mematuhi arahan yang bertujuan memenuhi kepentingan politik Encik Netanyahu, walaupun beliau masih memegang jawatan Perdana Menteri sementara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.