Presiden Israel akan pilih calon untuk bentuk pemerintah jelang 7 April
Presiden Israel Reuven Rivlin mengatakan pada Isnin (29 Mac) bahawa beliau akan memilih seorang calon untuk membentuk sebuah pemerintah menjelang 7 April, menyusuli pilihan raya umum yang sengit di negara itu.
Presiden Israel Reuven Rivlin berkata beliau akan memilih calon untuk membentuk pemerintah menjelang 7 April. (Gambar: AFP/Ludovic Marin/Pool)
JERUSALEM: Presiden Israel Reuven Rivlin mengatakan pada Isnin (29 Mac) bahawa beliau akan memilih seorang calon untuk membentuk sebuah pemerintah menjelang 7 April, menyusuli pilihan raya umum yang sengit di negara itu.
Presiden Rivlin akan "mengadakan satu sesi perundingan bersama semua parti pada Isnin (5 April)," menurut kenyataan dari pejabat beliau, sambil menambah bahawa "tugas membentuk pemerintah akan diberi kepada salah satu calonnya menjelang Rabu (31 Mac)".
Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menang 30 kerusi, iaitu blok terbesar dalam parlimen 120 anggota itu.
Namun, untuk terus berkuasa setelah 12 tahun memerintah, Encik Netanyahu perlu membentuk pemerintah campuran dengan sekurang-kurangnya 61 anggota parlimen.
Sekumpulan 57 anggota parlimen sedang cuba menyingkirkan Perdana Menteri veteran itu, yang sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah. Sejauh ini, Encik Netanyahu berkemungkinan mendapat sokongan 52 anggota parlimen.
Parti berhaluan kanan Yamina yang diketuai Naftali Bennett, yang sudah memenangi tujuh kerusi, belum mengisytiharkan siapa yang akan disokongnya.
Antara pesaing Encik Netanyahu adalah bekas panglima tentera Benny Gantz, yang juga merupakan seteru utama Encik Netanyahu dalam tiga pilihan raya lepas sebelum menyertai pemerintahan bersatu untuk melawan COVID-19.
Parti Biru dan Putihnya setakat mendapat lapan kerusi kali ini. Encik Gantz kini menyeru para anggota parlimen yang "lompat parti" supaya berbicara dengan satu suara.
"Saya sudah menyeru kepada para pemimpin yang menyokong blok perubahan itu untuk duduk bersama secepat mungkin supaya kita boleh mendapat pemerintah yang jujur dan mengakhiri zaman Netanyahu," nyata Encik Gantz pada Isnin (29 Mac).
Sebuah parti Arab Islam Israel kini muncul pemutus yang mungkin menentukan siapa yang akan memerintah. Pengerusi parti Raam, Mansour Abbas bagaimanapun memberitahu AFP minggu lalu bahawa beliau belum lagi membuat keputusan.
"Kepentingan masyarakat Arab kita akan menjadi garis panduan bagi keputusan muktamad ini," katanya.
Calon yang mendahului dalam pilihan raya mempunyai 28 hari untuk membentuk sebuah pemerintah campuran.
Presiden boleh melanjutkan lagi tarikh itu selama 14 hari sebelum melantik calon baru untuk membentuk pemerintah campuran atau memutuskan bahawa tiada sesiapa boleh membentuk sebuah pemerintah - lantas mengatur satu lagi pilihan raya iaitu kelima Israel sejak 2019.
Pada Isnin (29 Mac) juga, pengumpulan bukti dimulakan dalam perbicaraan Encik Netanyahu atas dakwaan rasuah.
Tahun lalu Encik Netanyahu menjadi Perdana Menteri pertama Israel yang didakwa semasa memegang jawatan tersebut. Beliau dituduh menerima pemberian hadiah dengan cara tidak sah dan melakukan rasuah dengan pihak media yang berpengaruh bagi mendapatkan liputan positif.
Beliau menafikan semua dakwaan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.