Skip to main content

Dunia

Presiden Filipina tolak dakwaan negaranya kawasan tumpuan latihan kumpulan ISIS

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengarahkan Majlis Anti-keganasan (ATC) supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan ancaman keganasan.
Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Filipina tolak dakwaan negaranya kawasan tumpuan latihan kumpulan ISIS
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. (Gambar: AFP)
MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengarahkan Majlis Anti-keganasan (ATC) supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan ancaman keganasan.

Beliau turut menolak sekeras-kerasnya dakwaan media asing yang menyifatkan Filipina sebagai kawasan tumpuan latihan kumpulan ISIS.

Istana Malacanang dalam satu kenyataan melalui Pegawai Akhbar, Claire Castro, mengingatkan media asing supaya lebih 'bijak dan bertanggungjawab' dalam laporan mereka, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Beliau menegaskan bahawa melabel negara itu sebagai hab pengganas boleh menjejaskan integriti dan imej Filipina.

"Sudah tentu, Presiden menolak sekeras-kerasnya kenyataan meluas dan gambaran yang mengelirukan kononnya Filipina adalah kawasan tumpuan latihan ISIS.

"Presiden mengarahkan ATC dan agensi ahli untuk terus berwaspada bagi menghalang sebarang aktiviti pengganas di dalam wilayah Filipina.

"Kita juga meningkatkan penyelarasan dengan rakan kongsi antarabangsa bagi memelihara keselamatan negara secara berterusan," kata Cik Castro dalam taklimat akhbar di Istana.

Mengulas mengenai kenyataan Majlis Keselamatan Negara (NSC), Cik Castro berkata tiada laporan sah menunjukkan suspek dalam kejadian tembakan di Bondi Beach, Australia baru-baru ini menjalani latihan 'ala ketenteraan' daripada kumpulan pengganas tempatan di Filipina sebulan sebelum serangan.

Beliau berkata pihak berkuasa Filipina dengan kerjasama rakan antarabangsa terus menentusahkan semua maklumat, namun sehingga kini tiada bukti menunjukkan negara itu digunakan bagi latihan pengganas.

"Sejak pengepungan Marawi pada 2017, pasukan keselamatan Filipina berjaya melemahkan kumpulan sekutu ISIS di negara ini secara ketara," katanya.

Cik Castro turut memetik penilaian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan kumpulan berkaitan ISIS di Filipina kini 'beroperasi dalam kapasiti yang berpecah-belah dan semakin mengecil'.

Menurutnya, keganasan di Mindanao sebahagian besarnya berpunca daripada konflik sejarah dan pertikaian suku tempatan, bukannya disebabkan oleh kapasiti operasi pertubuhan sekutu ISIS.

"Penilaian semasa menunjukkan peningkatan dalam persekitaran keselamatan tempatan, yang sebelum ini terjejas oleh keganasan.

"Perkembangan ini menunjukkan usaha berterusan pasukan keselamatan dan daya tahan komuniti kami dalam meningkatkan keamanan, ketenteraman, pembangunan di seluruh negara, kata Cik Castro.

Kes tembakan besar-besaran di Pantai Bondi di Sydney mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan puluhan yang lain semasa upacara sambutan Yahudi, Hanukkah.

Polis Australia mengenal pasti suspek sebagai pasangan bapa dan anak, Sajid Akram, 50, dan Naveed Akram, 24.

Laporan sebelum ini mendakwa kedua-dua suspek melakukan perjalanan ke Filipina pada November 2025 dan menghabiskan masa hampir sebulan di sana sebelum kembali ke Sydney beberapa minggu sebelum serangan berlaku.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita