Presiden Erdogan mungkin bertemu Putera Mahkota Saudi semasa G20
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mungkin mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman semasa Sidang Puncak G20 yang akan diadakan di Argentina minggu depan.
Reputasi Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman terjejas akibat pembunuhan Jamal Khashoggi. (Gambar: Fayez Nureldine/AFP)
ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mungkin mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman semasa Sidang Puncak G20 yang akan diadakan di Argentina minggu depan. Ini meskipun di tengah-tengah keadaan yang semakin tegang antara Ankara dengan Riyadh, menurut jurucakap presiden Turki pada Khamis (22 Nov).
"Kami sedang meneliti program sidang puncak," kata Ibrahim Kalin, seorang jurucakap. "Terdapat kemungkinan satu mesyuarat diadakan antara kedua-dua pemimpin itu," kata beliau.
Arab Saudi dan Turki bertikai berhubung pembunuhan pengkritik lantang Riyadh dan penulis ruangan Washington Post, Jamal Khashoggi, 59 tahun, dalam konsulat Saudi di Istanbul pada bulan lalu.
Jika diadakan, mesyuarat itu adalah pertemuan pertama antara Encik Erdogan dengan Putera Mahkota Mohammed Bin Salam, sejak pembunuhan tersebut yang menjejas imej pemimpin Saudi itu.
Sebelum ini, kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbualan telefon pada bulan lalu di mana mereka membincangkan mengenai usaha bersama bagi mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku kepada Encik Khashoggi.
Encik Khashoggi, seorang penduduk Amerika Syarikat dan rakyat Arab Saudi, memasuki konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober di mana beliau dibunuh dan tubuhnya dikatakan dikerat-kerat, menurut pihak pendakwa raya Turki.
Selepas berkali-kali menolak dakwaan membunuh Encik Khashoggi, kerajaan Saudi akhirnya mengakuinya sambil menyatakan bahawa 21 individu sudahpun diberkas.
Bagaimanapun, analisis CIA yang dibocorkan kepada media Amerika Syarikat dilaporkan menyalahkan Putera Mahkota itu atas pembunuhan tersebut.
Turki sudah berkali-kali menggesa agar pihak yang memberi arahan untuk membunuh Encik Khashoggi dipertanggungjawabkan, namun ia tidak menyalahkan Putera Mahkota Mohammed.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.