Skip to main content

Dunia

Presiden Cornell ikrar teliti peranan persaudaraan, persatuan pelajar susuli dakwaan kes rogol

Universiti Cornell akan meneliti peranan persaudaraan pelajar dan persatuan pelajar wanita di kampus menyusuli bantahan terhadap cara universiti tersebut menangani dakwaan seorang pelajar bahawa dirinya dirogol, kata presiden universiti Ivy League itu pada Sabtu (3 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Cornell ikrar teliti peranan persaudaraan, persatuan pelajar susuli dakwaan kes rogol

Rumah persaudaraan pelajar Chi Phi Universiti Cornell di Ithaca, New York, Amerika Syarikat, pada 29 September 2026. (Gambar: REUTERS/Lauren Petracca)

Diterbitkan : 04 Oct 2026 11:14AM
Cornell president pledges to examine the role of fraternities and sororities following allegations in a rape case
  • Cornell University will assess the role of fraternities and sororities after a lawsuit by a female student alleged that she was drugged and raped in 2024 by several Chi Phi members.
  • Cornell president Michael Kotlikoff said the university wants to preserve the positive values of student groups, while strengthening accountability, transparency and responsibility for safeguarding the campus community.
  • Cornell defended its actions, citing a thorough investigation, a ban on Chi Phi operating on campus and disciplinary action including expulsions, although the lawsuit alleged the punishments were inadequate.
  • The case in Ithaca, New York, has revived questions about how universities and law enforcement handle sexual assault complaints, while New York state has appointed a special prosecutor.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Universiti Cornell akan meneliti peranan persaudaraan pelajar dan persatuan pelajar wanita di kampus menyusuli bantahan terhadap cara universiti tersebut menangani dakwaan seorang pelajar bahawa dirinya dirogol, kata presiden universiti Ivy League itu pada Sabtu (3 Okt).

Saman sivil yang difailkan wanita tersebut bulan lalu mencetuskan kemarahan dan perdebatan berhubung budaya kampus di Cornell, yang terletak di Ithaca, New York. Wanita tersebut mendakwa dia diberikan dadah dan dirogol pada 2024 oleh beberapa anggota persaudaraan pelajar Chi Phi.

Dalam satu mesej video, Presiden Universiti Cornell Michael Kotlikoff berkata pihak universiti akan mengambil langkah untuk mencegah kejadian serupa pada masa hadapan. Ini termasuk "meneliti secara serius peranan persaudaraan pelajar dan persatuan pelajar wanita dalam kehidupan kampus", kata Encik Kotlikoff.

"Pada tahap yang terbaik, pertubuhan-pertubuhan ini boleh menawarkan persahabatan, rasa kebersamaan, bimbingan dan semangat kemasyarakatan yang kukuh kepada para pelajar," kata beliau. "Namun, menjadi sebahagian daripada sesebuah kumpulan tidak boleh mengurangkan tanggungjawab individu."

Menurut beliau, pihak universiti akan mendapatkan pandangan para pelajar, alumni dan pihak lain berhubung cara untuk "mengekalkan aspek kehidupan persaudaraan dan persatuan pelajar yang bernilai, sambil memperkukuh kebertanggungjawaban individu, ketelusan dan budaya yang memastikan setiap anggota memahami tanggungjawab mereka untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan orang lain."

Saman terhadap Cornell, tujuh anggota persaudaraan pelajar dan beberapa pihak lain mendakwa universiti tersebut gagal mengenakan hukuman sewajarnya terhadap sebahagian daripada pelajar yang dituduh.

Lelaki-lelaki yang dituduh menafikan semua salah laku, menurut New York Times.

Cornell mempertahankan cara ia menangani kes tersebut dengan menyatakan bahawa pihaknya sudah menjalankan siasatan menyeluruh dan melarang persaudaraan pelajar Chi Phi daripada beroperasi di kampus. Universiti tersebut menyatakan pelbagai tindakan disiplin turut dikenakan, termasuk penyingkiran pelajar.

Namun, "kami perlu melakukan yang lebih baik", kata Encik Kotlikoff. "Kami belum mempunyai semua jawapan, tetapi kami komited untuk menyiasat dan mencari jawapan yang sewajarnya diterima masyarakat kampus kami."

Beliau berjanji bahawa para pegawai universiti akan menjadi "lebih telus" berhubung tindakan mereka berkaitan kejadian pada 2024 itu, namun tidak memberikan perincian mengenai langkah khusus yang akan diambil pihak universiti.

"Dalam beberapa minggu akan datang, kami akan menyediakan lebih banyak peluang untuk anggota masyarakat kampus mengemukakan soalan dan mendengar secara langsung daripada pucuk pimpinan universiti," kata beliau.

Kes itu sekali lagi mencetuskan penelitian terhadap cara pihak penguat kuasa dan universiti menangani aduan serangan seksual, dengan para pelajar mempersoalkan sama ada proses sedia ada mencukupi untuk melindungi mereka. Kes tersebut turut mendapat perhatian para pegawai negeri New York, yang melantik seorang pendakwa khas untuk menjalankan siasatan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita