Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden China Xi Jinping tiba di Rusia bagi rundingan dengan Presiden Putin

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden China Xi Jinping tiba di Rusia bagi rundingan dengan Presiden Putin

Presiden China Xi Jinping melambai ketika beliau turun dari pesawatnya sebaik tiba di Lapangan Terbang Vnukovo Moscow pada 20 Mac 2023. (Gambar: AFP/Anatoliy ZHDANOV/Kommersant Photo)

Diterbitkan : 20 Mar 2023 09:03PM Dikemas Kini : 20 Mar 2023 10:18PM
MOSKO: Presiden China Xi Jinping tiba di Mosko pada Isnin (20 Mac) di mana beliau dijangka menekankan peranan Beijing sebagai pendamai berpotensi dalam konflik Ukraine. Sementara itu, Presiden Rusia Vladimir Putin mengharapkan sokongan Beijinh terhadap tekanan daripada negara-negara Barat.

Lawatan Presiden Xi ke Rusia selama tiga hari itu adalah yang pertama dilakukannya dalam hampir empat tahun. Lawatan tersebut dianggap Beijing sebagai "lawatan bagi kedamaian" sedang China berusaha untuk menjadi pengantara dalam pencerobohan Rusia di Ukraine.

Beliau berkata bahawa lawatan negara pertamanya ke Rusia sejak tercetusnya konflik Ukraine akan memberi "momentum baru" kepada hubungan dua hala tersebut.

Beliau turut menyifatkan hubungan yang terjalin antara Rusia dengan China sebagai "negara jiran yang baik" dan "rakan kerjasama yang diyakini".

Encik Xi akan menjadi pemimpin negara pertama untuk berjabat tangan dengan Encik Putin sejak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada Jumaat (17 Mac) kerana mengusir kanak-kanak Ukraine ke Rusia sejak pencerobohannya.

Mosko menyatakan bahawa dakwaan tersebut adalah antara "tindakan jelas permusuhan", manakala Beijing menyatakan keputusan ICC itu mencerminkan sikap berat sebelah.

Rusia menganggap lawatan Presiden Xi sebagai bukti bahawa ia mempunyai rakan berkuasa yang bersedia untuk menyokongnya terhadap permusuhan daripada negara-negara Barat, yang dituduhnya berusaha untuk memulaukan dan menumpaskan Mosko.
Bagi Presiden Xi pula, ia merupakan lawatan beronak beliau ke Rusia.

China sudah mengeluarkan usul 12 perkara untuk menghuraikan krisis Ukraine tetapi pada masa yang sama, mengukuhkan lagi hubungan dengan Mosko.

China sudah berulang kali membidas dakwaan negara-negara Barat bahawa ia sedang merancang untuk membekalkan senjata kepada Rusia. China sebaliknya menyatakan bahawa ia mahu menjalin kerjasama tenaga yang lebih erat selepas meningkatkan import arang batu, gas dan minyak Rusia berikutan pencerobohan Rusia di Ukraine.
Sumber : Reuters/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan