Presiden China bertemu pemimpin syarikat swasta di Beijing, galak kembangkan perniagaan
Presiden China, Xi Jinping, menghadiri sebuah simposium berkenaan syarikat swasta, menurut agensi berita rasmi Xinhua hari ini (17 Feb).
Xi pertama kali mempengerusikan simposium berprofil tinggi bagi sektor swasta pada 2018. (Gambar: AP)
Langkah yang jarang berlaku ini diambil sedang Beijing berdepan dengan keadaan ekonomi yang kian lembap dan ditengah-tengah ketegangan yang meningkat dengan Amerika.
Laporan Xinhua menyatakan bahawa Encik Xi menyampaikan ucapan selepas mendengarkan wakil-wakil daripada syarikat swasta. Namun, laporan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai simposium yang diadakan di Dewan Besar Rakyat di Beijing, termasuk siapa yang menghadiri acara tersebut.
Jumaat lalu (14 Feb), Reuters melaporkan bahawa Encik Xi merancang untuk mempengerusikan satu simposium bagi meningkatkan sentimen sektor swasta hari ini, yang akan dihadiri para pemimpin perniagaan negara itu, termasuk pengasas bersama Alibaba, Jack Ma.
Menurut sumber, simposium tersebut bertujuan meningkatkan keyakinan sektor swasta, dan Encik Xi dijangka menggalak para ketua syarikat untuk mengembangkan perniagaan mereka di dalam dan luar negara, di tengah-tengah perang teknologi yang semakin sengit antara China dan Amerika.
Encik Xi pertama kali mempengerusikan simposium berprofil tinggi untuk sektor swasta pada 2018, enam tahun selepas beliau berkuasa. Ketika itu, beliau berjanji untuk memberi pemotongan cukai dan mewujudkan persaingan yang adil, sambil menegaskan bahawa syarikat-syarikat swasta akan mendapat sokongan kewangan.
Simposium ini juga berlangsung ketika platform AI DeepSeek mencetuskan spekulasi pelabur mengenai potensinya untuk mengangkat sektor teknologi China dengan lebih meluas, sekali gus mendorong seruan untuk menilai semula aset China ke tahap lebih tinggi.
Encik Xi sudah lama menekankan kepentingan China dalam mencapai kemandirian dari segi semikonduktor dan mahu negara tersebut untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memacu pembangunan ekonominya.
Namun, usaha China terbantut akibat sekatan eksport cip oleh Washington, yang bimbang Beijing mungkin menggunakan semikonduktor canggih untuk memperkukuh keupayaan tenteranya.
"Ia adalah pengakuan secara tidak langsung bahawa pemerintah China memerlukan syarikat dari sektor swasta untuk bersaing dalam persaingan teknologi dengan Amerika," kata Christopher Beddor, Timbalan Pengarah Penyelidikan China di Gavekal Dragonomics di Hong Kong. "Pemerintah tidak mempunyai pilihan selain menyokong mereka jika mahu bersaing dengan Amerika."
Saham teknologi di Hong Kong melonjak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, didorong keyakinan terhadap kejayaan AI DeepSeek dan perubahan pendirian pihak berkuasa terhadap syarikat-syarikat gergasi internet.
Indeks pasaran mencapai paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada sesi dagangan pagi Isnin. Ini selepas ia mengalami kenaikan Jumaat lalu berikutan laporan Reuters mengenai simposium yang bakal dipengerusikan Encik Xi. Indeks itu kekal stabil tidak lama selepas media rasmi melaporkan tentang ucapan beliau awal hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.