Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Brazil pecat ketua tentera susuli rusuhan berkaitan pilihan raya

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Brazil pecat ketua tentera susuli rusuhan berkaitan pilihan raya

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva (Gambar: Evaristo Sa/AFP)

WASHINGTON: Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada Sabtu (21 Jan) memecat ketua tentera, Jeneral Julio Cesar de Arruda, dua minggu selepas rusuhan berkaitan pilihan raya yang berlaku di ibu negara Brasilia.

Encik Lula membuat keputusan itu selepas bertemu dengan Encik Arruda dan komander cabang tentera yang lain pada Jumaat (20 Jan), lapor United Press International (UPI), memetik media tempatan Folha de Sao Paulo.

Encik Lula ingin memecat Ketua Batalion Pengawal Presiden sebagai tindak balas terhadap rusuhan yang berlaku pada 8 Januari lalu tetapi Encik Arruda mahu siasatan dijalankan terlebih dahulu. 

Pasukan keselamatan menahan lebih 1,200 orang sejak penyokong mantan Presiden Jair Bolsonaro menyerbu bangunan Kongres, Istana Presiden dan Mahkamah Agung di Brasilia pada 8 Januari.

Para penunjuk perasaan menuntut agar Encik Lula, yang mengangkat sumpah jawatan pada 1 Januari, itu digulingkan.

Encik Lula, ahli politik berhaluan kiri yang pernah berkhidmat sebagai presiden dari 2003 hingga 2010, menewaskan Encik Bolsonaro dalam pilihan raya pada akhir Oktober lalu.

Beliau memperoleh 50.9 peratus undi berbanding pencabarnya yang sekadar mendapat 49.1 peratus undi.

Jeneral Tomas Miguel Mine Ribeiro Paiva dinamakan sebagai pengganti Encik Arruda yang menyandang jawatan itu sejak 28 Disember.

Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan