Presiden Brazil ikrar balas tarif Trump, namun masih terbuka kepada diplomasi
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva berucap di majlis pelancaran Pelan Tuaian Pertanian Keluarga pemerintah 2025/2026 di istana presiden Planalto di Brasilia, Brazil pada 30 Jun 2025. (Gambar: AP/Eraldo Peres)
"Kami akan cuba berunding terlebih dahulu, tetapi jika tiada rundingan, undang-undang balas akan dilaksanakan," kata Encik Lula dalam wawancara dengan Record TV, merujuk kepada undang-undang yang baru-baru ini diluluskan oleh Kongres yang memberi kuasa kepada presiden untuk membalas halangan perdagangan.
"Jika mereka mengenakan 50 ke atas kami, kami akan mengenakan 50 terhadap mereka."
Presiden itu berkemungkinan tidak akan mengumumkan sebarang langkah balas sehingga tarif dilaksanakan, kata seorang diplomat Brazil yang meminta untuk tidak dikenali bagi menerangkan perbahasan dalaman pemerintah.
"Kami ada masa sehingga 1 Ogos," kata sumber itu.
Dalam surat kepada Encik Lula yang diterbitkan pada Rabu (9 Jul), Presiden Trump mengaitkan tarif tersebut dengan badan kehakiman Brazil yang melancarkan prosiding undang-undang terhadap mantan Presiden Jair Bolsonaro, yang sedang dibicarakan atas tuduhan merancang rampasan kuasa untuk menghalang Encik Lula daripada mengambil alih jawatan pada 2023.
Ini berlaku selepas beratus-ratus penyokong pro-Bolsonaro menyerbu Kongres.
Encik Lula mengkritik Encik Bolsonaro kerana terus menyebarkan dakwaan mengenai pendakwaan yang bermotifkan politik, sambil menekankan bahawa anak lelaki mantan presiden, Eduardo Bolsonaro, mengambil cuti daripada peranannya di Kongres, sebahagiannya untuk mengetuai kempen memihak kepada bapanya di Amerika Syarikat.
"Mantan presiden Brazil harus bertanggungjawab, kerana dia bersetuju dengan cukai Presiden Trump ke atas Brazil.
"Malah, anaknya yang pergi ke sana untuk mempengaruhi fikiran Presiden Trump," kata Encik Lula.
Dalam catatan media sosial pada lewat Khamis, Encik Bolsonaro berkata surat Presiden Trump yang mengumumkan tarif diterima dengan "rasa tanggungjawab", menambah bahawa beliau menghormati dan mengagumi pemerintah Amerika.
"Ini tidak akan berlaku di bawah pemerintah saya," tulisnya.
Mantan presiden itu juga menggesa pihak berkuasa untuk bertindak dengan mengemukakan langkah-langkah untuk memulihkan apa yang disebutnya sebagai "keadaan normal institusi".
REAKSI PASARAN
Encik Lula berkata pemerintah akan menubuhkan jawatankuasa dengan pemimpin perniagaan Brazil untuk "memikirkan semula" dasar perdagangan negara dengan Amerika Syarikat.
Beliau menyebut tentang undang-undang balas baharu Brazil, yang diluluskan sebaik sahaja Presiden Trump membuat pengumuman tarif pertamanya pada April, yang membenarkan pemerintah untuk bertindak balas sekiranya negara lain mengenakan halangan sehala terhadap produk Brazil.
Selain mengenakan tarif balasan, undang-undang tersebut juga akan membenarkan Encik Lula untuk menghadkan import dan pelaburan serta menggantung hak cipta intelek syarikat Amerika, antara langkah-langkah lain.
Amerika adalah rakan dagang kedua terbesar Brazil selepas China dan mempunyai lebihan perdagangan yang jarang berlaku dengan ekonomi terbesar Amerika Latin itu.
Beberapa sektor pasaran, termasuk penerbangan dan perbankan, merasakan tekanan serta-merta. Saham beberapa syarikat Brazil merosot pada Khamis, dengan pembuat pesawat Embraer dan bank-bank utama seperti Itau Unibanco dan Banco Santander mencatat kerugian.
Namun tarif tersebut juga boleh mencetus gangguan di Amerika, menjejas harga makanan, memandangkan Brazil adalah pengeksport utama pertanian bagi kopi, jus oren, gula, daging lembu, dan etanol.
Tarif 50 peratus yang dicadangkan akan menghentikan aliran kopi Brazil ke Amerika, pembeli terbesarnya, menurut empat sumber perdagangan kepada Reuters pada Khamis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.