Skip to main content

Dunia

Presiden Brazil beri amaran kepada Trump jangan campur tangan dalam pilihan raya negaranya

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva memberi peringatan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar tidak campur tangan dalam pilihan raya negara itu tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Brazil beri amaran kepada Trump jangan campur tangan dalam pilihan raya negaranya

Lula da Silva memberi peringatan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, agar tidak campur tangan dalam pilihan raya negara Brazil tahun ini. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 18 Jun 2026 10:32AM Dikemas Kini : 18 Jun 2026 10:43AM
  • Presiden Brazil, Lula da Silva memberi amaran kepada Donald Trump agar tidak campur tangan dalam pilihan raya Brazil yang dijadualkan Oktober ini.
  • Amaran itu dibuat selepas Trump menyatakan situasi politik di Brazil semakin tegang dan berbahaya, serta mengulas tentang kekerasan politik di negara itu.
  • Hubungan antara Lula dan Trump terus tegang, dengan isu undang-undang melibatkan keluarga Bolsonaro turut memanaskan suasana politik.
  • Jabatan Negara Amerika Syarikat mengkritik tindakan kehakiman Brazil terhadap pembangkang, menegaskan perdebatan politik wajar diselesaikan melalui pilihan raya demokratik.
Dijana oleh AI
SAO PAULO: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva memberi peringatan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar tidak campur tangan dalam pilihan raya negara itu tahun ini.

Bercakap pada Rabu (17 Jun), Encik Lula berkata Encik Trump berhak mempunyai kecenderungan politik terhadap mana-mana pihak di Brazil, namun memberi amaran supaya beliau “tidak mencampuri” proses pilihan raya yang bakal berlangsung Oktober ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Encik Trump memberitahu wartawan bahawa situasi politik di Brazil kini menjadi “agak tegang” dan “berbahaya.”

“Mereka bermain dengan agak keras, tetapi tiada siapa yang lebih keras daripada Amerika Syarikat,” kata Encik Trump, seperti dinukil Astro Awani.

Pertikaman lidah itu merupakan episod terbaharu dalam hubungan turun naik antara kedua-dua pemimpin, yang masing-masing berada di Switzerland pada Rabu sempena hari terakhir Sidang Puncak G7.

Dalam perkembangan berkaitan, pencabar utama Lula menurut tinjauan ialah Senator Flavio Bolsonaro, anak kepada sekutu Trump dan mantan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

Jair Bolsonaro kini berada di bawah tahanan rumah selepas disabit kesalahan tahun lalu berhubung dakwaan merancang rampasan kuasa menyusuli pilihan raya 2022.

Encik Trump sebelum ini bertemu Senator Flavio Bolsonaro bersama abangnya, Eduardo Bolsonaro pada bulan lalu.

Encik Eduardo merupakan mantan Ahli Parlimen yang kini menetap di Amerika Syarikat.

Encik Trump juga dilaporkan bertemu Encik Lula beberapa minggu sebelum itu.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Agung Brazil mensabitkan Eduardo Bolsonaro atas tuduhan memohon campur tangan pentadbiran Trump dalam perbicaraan melibatkan bapanya, yang dinafikannya.

Seorang jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat memaklumkan, sabitan ke atas Encik Eduardo itu adalah sebahagian daripada “pola penganiayaan dan penggunaan undang-undang sebagai senjata politik” oleh badan kehakiman Brazil terhadap pihak pembangkang.

Jurucakap itu turut menegaskan, “perdebatan politik seharusnya diputuskan menerusi pilihan raya demokratik, bukannya melalui sabitan mahkamah.”
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita