Presiden Biden umum langkah keselamatan baru COVID-19
Presiden Joe Biden pada Khamis (2 Dis) mengumumkan pelbagai langkah baru dalam usaha untuk memerangi COVID-19 selepas dua kes melibatkan varian Omicron dilaporkan di Amerika Syarikat (AS).

Gambar Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dipetik pada 25 Okt 2021 (Gambar: ANDREW CABALLERO-REYNOLDS/AFP)
WASHINGTON: Presiden Joe Biden pada Khamis (2 Dis) mengumumkan pelbagai langkah baru dalam usaha untuk memerangi COVID-19 selepas dua kes melibatkan varian Omicron dilaporkan di Amerika Syarikat (AS).
"Pelan baru itu adalah gabungan daripada nasihat-nasihat yang diutarakan anda semua dan ia tidak melibatkan sekatan pergerakan tetapi perlindungan vaksinasi dan suntikan dos penggalak yang lebih meluas dan ujian saringan dan banyak lagi," kata Encik Biden.
Encik Biden berkata langkah itu akan membolehkan sekolah dan perniagaan kekal dibuka sambil memastikan rakyat Amerika selamat.
"Kami akan melawan varian ini dengan sains dan kecekapan bukan secara huru-hara dan kekeliruan," katanya.
Tindakan baru itu termasuk meningkatkan perlindungan vaksinasi COVID-19 di seluruh Amerika Syarikat, mengetatkan protokol ujian saringan untuk semua pelawat antarabangsa dan mewajibkan keputusan ujian negatif sehari sebelum berlepas ke negara itu.
Sebelum ini, pentadbiran Biden mengumumkan sekatan perjalanan dari Afrika Selatan dan tujuh negara selatan Afrika menyusuli penularan kes varian Omicron.
Amerika Syarikat juga mengumumkan rancangan untuk memperluaskan peraturan pemakaian pelitup untuk perjalanan domestik sehingga pertengahan Mac 2022. Peraturan pelitup itu pada awalnya dijadualkan tamat pada Januari 2022.
Kes kedua varian Omicron di Amerika Syarikat dilaporkan di Minnesota pada Khamis, sehari selepas kes pertama disahkan di California.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.