Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Biden ucap tahniah kepada PM Anwar; puji demokrasi M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Jumaat (27 Jan) menerima ucapan tahniah daripada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, yang turut memuji demokrasi Malaysia yang dipamerkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Encik Anwar berkata Presiden Amerika Syarikat itu turut menyatakan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia, termasuk dalam bidang ekonomi digital, krisis cuaca, dan sekuriti tenaga.

“Saya berharap untuk dapat bekerjasama dengan beliau (Biden) bagi manfaat bersama seluruh rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook pada Jumaat dan beliau turut memuat naik ucapan tahniah daripada Encik Biden.
Encik Biden dalam nota bertarikh 24 Januari berkata demokrasi di seluruh dunia ketika ini berdepan dengan cabaran baru yang belum pernah ditempuhi sebelum ini, dan pilihan raya di Malaysia menunjukkan bahawa demokrasi boleh membawa kejayaan.

“Berjuta-juta rakyat Malaysia telah bangkit bersuara - mengundi dalam pilihan raya umum, ramai juga yang mengundi buat pertama kali."

“Penglibatan sivik adalah asas kepada masyarakat bebas serta terbuka, dan rakyat Malaysia memberi inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia dengan komitmen mereka untuk melaksanakan kebebasan asas yang dinikmati,” katanya.

Encik Biden turut menegaskan bahawa hubungan antara kedua-dua negara dibina di atas asas kukuh ekonomi yang sentiasa berkembang, keselamatan dan hubungan rakyat dengan rakyat, yang turut membantu mengukuhkan kebebasan, keselamatan serta kemakmuran di Indo Pasifik.

“Pada tahun-tahun akan datang, saya berharap untuk memperkukuhkan lagi perkongsian kami - termasuk bekerjasama untuk membina pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan rantaian bekalan yang berdaya tahan melalui Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik."

“Bersama, kita boleh majukan wilayah yang bebas, terbuka, selamat dan makmur - yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” tambahnya.

Encik Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 24 November lalu.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan