Skip to main content

Dunia

Presiden Biden sentuh isu gencatan senjata di Gaza & umat Islam yang ditindas dalam ucapan sempena Aidiladha

Anggaran Waktu Membaca:
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menyatakan sokongannya kepada perjanjian gencatan senjata di Gaza yang disokong Amerika, dalam ucapan Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di negara itu.

Menurut Encik Biden, beliau percaya cadangan gencatan senjata tiga peringkat yang diusulkan oleh Israel kepada Hamas dan disokong Majlis Keselamatan PBB merupakan cara terbaik untuk menamatkan keganasan di Gaza dan akhirnya, mengakhiri peperangan itu.

Encik Biden juga berkata ia adalah cara terbaik untuk membantu orang awam yang sedang melalui penderitaan angkara perang antara Hamas dengan Israel.

Amerika Syarikat telah mendesak kedua-dua Israel dan Hamas supaya menerima secara rasmi perjanjian gencatan senjata yang telah diluluskan oleh anggota Majlis Keselamatan PBB pada minggu lalu.

Washington telah mendesak Hamas agar menerima saranan gencatan senjata itu yang akan membawa kepada langkah menggantung peperangan selama enam minggu pada mulanya.

Dalam ucapan yang sama sempena Aidiladha itu, Presiden Biden turut menarik perhatian terhadap usaha Amerika "menyokong hak-hak masyarakat Islam lain" yang ditindas termasuk masyarakat Rohingya di Myanmar dan kaum Uighur di China.

Presiden Biden menambah "mereka juga sedang berusaha untuk mewujudkan huraian damai kepada konflik di Sudan."

Mengenai perkembangan dalam negeri, Presiden Biden juga menjanjikan usaha membanteras Islamofobia.

Ini dilihat sebagai satu percubaan Encik Biden untuk merayu sokongan kepada masyarakat Islam Amerika sebagai kumpulan utama pengundi bagi usaha parti Democrat mengekalkan pentadbiran Rumah Putih.
Sumber : AGENCIES/HA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita