Skip to main content

Dunia

Presiden Azerbaijan, Raja Jordan antara dipercayai 'simpan' harta jutaan dolar di luar pesisir

Sekumpulan pertubuhan media mendedahkan dapatan berikut setelah ia menyemak apa yang disifatkan sebagai kebocoran besar rekod sulit kewangan yang membongkar aset-aset yang disimpan di luar pesisir oleh ahli-ahli politik dan pegawai awam di merata dunia.

Anggaran Waktu Membaca:

AMERIKA SYARIKAT: Sekumpulan pertubuhan media mendedahkan dapatan berikut setelah ia menyemak apa yang disifatkan sebagai kebocoran besar rekod sulit kewangan yang membongkar aset-aset yang disimpan di luar pesisir oleh ahli-ahli politik dan pegawai awam di merata dunia.

Puluhan pemimpin negara termasuk dari Jordan, Azerbaijan, Kenya dan Czech serta anggota politik dan pegawai awam merata dunia dilaporkan menggunakan akaun luar pesisir bagi menyembunyikan wang dan pelaburan bernilai ratusan juta.

Laporan siasatan dinamakan “Pandora Papers” itu diterbitkan Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), melibatkan 600 wartawan dari beberapa media termasuk The Washington Post, BBC, The Guardian, Radio France dan the Indian Express.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sendiri dakwaan atau dokumen yang didedahkan oleh konsortium tersebut dan rakan-rakan medianya.

RAJA JORDAN, RAJA ABDULLAH

Raja Abdullah mengumpulkan hartanah bernilai sekitar AS$100 juta (S$135 juta) di Amerika Syarikat dan Britain menerusi syarikat-syarikat sulit. Aset itu dibeli antara tahun 2003 dengan 2017 menerusi firma-firma yang berdaftar di negara-negara perlindungan cukai dan termasuk hartanah di Malibu, selatan California dan Washington serta London.

DLA Piper, pejabat undang-undang London yang mewakili Raja Abdullah, memberitahu ICIJ bahawa beliau "tidak pernah menyalahgunakan wang awam atau menggunakan sebarang dana bagi bantuan yang bertujuan untuk kegunaan awam".

PERDANA MENTERI CZECH, ANDREJ BABIS

Laporan itu mendedahkan Encik Babis memindahkan AS$22 juta (S$30 juta) menerusi syarikat-syarikat luar pesisir untuk membeli sebuah estet di French Riviera pada 2009 dan merahsiakan pemilikannya.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada urus niaga itu melanggar undang-undang atau tidak.

Encik Babis, yang berucap dalam satu siaran televisyen pada Ahad (3 Okt) menjelang pilihan raya pada 8 dan 9 Oktober nanti, menafikan sebarang salah laku dan menegaskan bahawa "wang yang ditinggalkan dalam bank Czech, dikenakan cukai, ia adalah wang saya dan dikembalikan kepada bank Czech".

Encik Babis, yang juga pengasas empayar peladangan, makanan, bahan kimia dan media Agrofert, menceburi bidang politik pada 2011 dengan agenda antirasuah.

SVETLANA KRIVONOGIKH

Menurut The Washington Post, wanita Rusia bernama Svetlana Krivonogikh menjadi pemilik sebuah apartmen di Monaco menerusi sebuah syarikat luar pesisir yang dibuka di pulau Tortola, Carribean pada April 2003, hanya beberapa minggu selepas melahirkan bayi perempuan.

Ketika itu, beliau menjalin hubungan sulit bertahun-tahun lamanya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, menurut akhbar itu, yang memetik sebuah cawangan penyiasat Rusia, Proekt.

The Post juga menyatakan anak wanita berkenaan, Krivonogikh, kini berusia 18 tahun. Kremlin enggan mengulas mengenai laporan itu.

PAKISTAN

ICIJ menyatakan dokumen yang dibocorkan menunjukkan bahawa orang yang dekat dengan Perdana Menteri Imran Khan, termasuk menteri Kabinet, memiliki syarikat-syarikat dan akaun amanah luar pesisir, yang menyembunyikan harta bernilai jutaan dolar.

Dokumen-dokumen itu juga menunjukkan nilai kekayaan peribadi pemimpin tentera Pakistan, tambahnya.

Menurut konsortium itu lagi, dokumen-dokumen tersebut tidak menunjukkan sama ada Encik Khan sendiri memilik syarikat-syarikat luar pesisir.

Menurutnya, Menteri Kewangan Shaukat Fayaz Ahmed Tarin dan anggota keluarganya memiliki empat firma luar pesisir.

Menurut Encik Tariq Fawad Malik, seorang perunding kewangan yang mengendalikan kertas kerja syarikat-syarikat tersebut, ia ditubuhkan sebagai sebahagian daripada pelaburan yang ingin dilakukan oleh keluarga Encik Tarin dalam sebuah bank dengan perniagaan Saudi, menurut ICIJ.

ICIJ memetik Encik Tarin dalam satu kenyataan sebagai berkata: "Syarikat-syarikat luar pesisir yang disebutkan sudah diperbadankan sebagai sebahagian daripada usaha menarik pelaburan untuk bank saya."

DAKOTA SELATAN

Menurut laporan The Guardian, fail yang didedahkan ICIJ turut memberikan bukti bahawa bidang kuasa Dakota Selatan kini ibarat Eropah dan Caribbean dari segi kerahsiaan maklumat kewangan

Dokumen itu mendedahkan hampir AS$360 bilion (S$490 bilion) aset pelanggan berada dalam akaun amanah di Dakota Selatan, sebahagiannya terikat kepada individu-individu dan syarikat-syarikat luar pesisir yang dituduh melakukan kesalahan hak asasi kemanusiaan dan salah laku lain, menurut laporan itu.

Para pegawai negara bagaimanapun enggan mengulas tentang laporan tersebut.

AZERBAIJAN

Siasatan mendapati Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dan keluarganya secara rahsia terlibat dalam perjanjian hartanah Britain bernilai lebih 400 juta paun (S$737 juta), menurut laporan BBC.

Fail-fail itu menunjukkan bagaimana keluarga berkenaan membeli 17 hartanah, termasuk sebuah bangunan pejabat bernilai 33 juta paun di London untuk anaknya yang berusia 11 tahun.

Siasatan juga mendedahkan sebuah lagi bangunan pejabat berdekatan yang dimiliki keluarga itu dijual kepada Crowne Estate, iaitu sebuah perniagaan komersil bebas di Britain, pada harga 66 juta paun pada 2018.

Menurut Crowne Estate, ia sudah menjalankan pemeriksaan yang diperlukan di bawah undang-undang pada waktu pembelian namun sekarang sedang meneliti semula perkara tersebut. Keluarga Encik Aliyev pula enggan memberikan sebarang komen kepada BBC.

KENYA

Presiden Kenya Uhuru Kenyatta dan enam enggota keluarganya dikaitkan dengan 13 syarikat luar pesisir, menurut dokumen-dokumen tersebut.

Pelaburan luar pesisir keluarga Encik Kenyatta itu termasuk sebuah syarikat dengan saham dan bon bernilai AS$30 juta ($S41 juta), lapor BBC.

Keluarga Encik Kenyatta setakat ini belum memberi sebarang respons kepada permintaan untuk mengulas laporan itu. 

Sumber : Reuters/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita