Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Prasarana, kemudahan asas di Sabah akan dinaik taraf, kata Bung Mokhtar

Timbalan Ketua Menteri I Bung Moktar Radin berkata beliau akan memastikan kemudahan asas dan infrastruktur di Sabah dinaik taraf, khususnya di kawasan luar bandar.

Anggaran Waktu Membaca:
Prasarana, kemudahan asas di Sabah akan dinaik taraf, kata Bung Mokhtar

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 30 Sep 2020 02:44PM Dikemas Kini : 30 Sep 2020 02:46PM

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I Bung Moktar Radin berkata beliau akan memastikan kemudahan asas dan infrastruktur di Sabah dinaik taraf, khususnya di kawasan luar bandar.

Bung Moktar yang memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Kerja Raya Sabah hari ini (30 Sep) berkata misi utama beliau selaras dengan 'Aku Janji' Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat Sabah.

"Tugas saya dan rakan-rakan, semua agensi di sini (kementerian) akan memastikan rakyat mendapat hak mereka, mendapat bekalan air bersih dan jalan raya yang baik," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Helena Masry di bangunan kementerian tersebut.

Katanya lagi, beliau juga akan berusaha memperincikan proses pembinaan Lebuhraya Pan Borneo supaya berjalan lancar.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata dalam usaha membendung pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar Kota Kinabalu dikenakan sekatan pergerakan.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata sekatan itu bergantung kepada perkembangan harian jumlah kes COVID-19 di negeri itu, sebelum penguatkuasaan sekatan pergerakan dilakukan.

"Sekiranya COVID-19 masih terkawal, saya rasa tidak perlu sekatan pergerakan tetapi bagi daerah lain (Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau) perlu (dilaksanakan) ...tiada pilihan. Utamakan rakyat terlebih dahulu,” katanya.

Mengenai taklimat itu, Bung Moktar berkata beliau dimaklumkan mengenai perancangan yang akan dilaksanakan kementerian itu khususnya dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Pada Selasa (29 Sep), Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin semasa istiadat di Istana Negeri Sabah. 

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, Sabtu lalu (26 Sep), apabila memperolehi 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri tersebut.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan