Skip to main content

Dunia

Pramugari ini susui bayi penumpang yang kehabisan susu tepung dalam pesawat

Seorang pramugari menawan hati ramai orang apabila beliau bertindak menyusukan bayi yang tidak berhenti menangis semasa dalam penerbangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pramugari ini susui bayi penumpang yang kehabisan susu tepung dalam pesawat

Patrisha Organo menawan hati ramai orang apabila beliau menyusukan bayi yang tidak berhenti menangis semasa dalam penerbangan. (Gambar: Patrisha Organo/Facebook)

Diterbitkan : 21 Nov 2018 09:13PM Dikemas Kini : 21 Nov 2018 09:21PM

FILIPINA: Seorang pramugari menawan hati ramai orang apabila beliau bertindak menyusukan bayi yang tidak berhenti menangis semasa dalam penerbangan.

Akhbar Mirror melaporkan bahawa Patrisha Organo, 24 tahun, sedang bertugas dalam penerbangan sebelah pagi dari Filipina apabila beliau terdengar tangisan bayi.

Cik Patrisha dimaklumkan oleh ibu bayi berkenaan bahawa susu tepung bayi yang dibawanya ke dalam pesawat itu sudah habis dan beliau tidak dapat memberi susu kepada anaknya.

"Saya menghampiri ibu bayi dan bertanya jika semuanya ok. Saya cuba memberitahu beliau supaya menyusukan anaknya yang lapar. Ibu itu, yang bergenang air mata, memberitahu saya bahawa susu tepung bayi yang dibawanya sudah habis," kata Cik Patrisha menerusi catatan di laman Facebooknya.

Sebagai seorang ibu kepada bayi berusia sembilan bulan, Cik Patrisha berkata beliau memahami keadaan ibu berkenaan, menurut laporan Mirror.

"Saya tahu tidak ada susu tepung bayi di dalam pesawat. Saya tahu saya harus membantu. Saya menawarkan susu badan saya sendiri, kerana saya memang menyusukan anak saya.

"Saya ternampak ibu berkenaan kelihatan lega. Saya terus menyusukan bayi itu sehinggalah dia tidur. Saya kemudian membawa mereka kembali ke tempat duduk dan sebelum saya meninggalkan mereka, ibu itu mengucapkan terima kasih kepada saya," kata Cik Patrisha.

Sejak Cik Patrisha memuatnaikkan catatan itu di laman Facebooknya, ia menjadi tular dan dikongsi lebih 39,000 kali dan menerima lebih 9,000 komen - dengan para netizen memuji tindakannya.

Pada Ogos lalu, seorang pegawai polis di Argentina juga menarik perhatian ramai netizen apabila beliau menyusukan bayi yang kurang gizi semasa bertugas di sebuah hospital kanak-kanak, lapor Mirror. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita