Pramugari Garuda Indonesia tidak lagi akan pakai pelitup gara-gara penumpang seperti ini
Syarikat penerbangan Garuda Indonesia menyatakan bahawa para pramugari akan diarahkan supaya berhenti memakai pelitup kerana pihaknya menerima banyak aduan daripada para penumpang yang tidak berpuas hati.
Para pramugari Garuda Indonesia. (Gambar: Media sosial menerusi Malay Mail)
PETALING JAYA: Syarikat penerbangan Garuda Indonesia menyatakan bahawa para pramugari akan diarahkan supaya berhenti memakai pelitup kerana pihaknya menerima banyak aduan daripada para penumpang yang tidak berpuas hati.
Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra berkata para penumpang berasa tidak puas hati mereka tidak dapat melihat raut wajah para pramugari semasa melayan mereka.
"Ramai penumpang dewasa merungut tentang pramugari kami yang memakai pelitup."
"(Disebabkan pelitup), para penumpang tidak tahu sama ada mereka (pramugari) sedang tersenyum atau merungut," kata Encik Irfan semasa satu seminar online yang dianjurkan oleh Universitas Bina Nusantara pada Selasa (16 Jun).
Encik Irfan menambah bahawa para pramugari sebaliknya akan menukar kepada penggunaan pelindung muka secara bertahap-tahap dan interaksi dengan penumpang akan dikurangkan bagi membendung penularan COVID-19.
Beliau menegaskan bahawa pengalaman menaiki pesawat seharusnya sesuatu yang menyenangkan dan beliau tidak mahu penumpang berasa "seperti mereka sedang dirawat di unit jagaan rapi (ICU)."
"Kami tidak mahu penumpang masuk pesawat dengan perasaan tidak gembira atau tertekan, atau bertanggapan, "oh, ini ICU ke?' apabila mereka menaiki pesawat.
"Semua orang memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, ini tidak betul."
Menurut laman web Garuda Indonesia, syarikat penerbangan itu melaksanakan langkah jarak selamat dalam pesawatnya dan para penumpang serta anak kapal buat masa ini mesti memakai pelitup apabila menaiki pesawat.
Pemeriksaan kesihatan juga dijalankan ke atas setiap anak kapal sebelum melakukan penerbangan dan semua penumpang mesti menjalani ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) sebelum pesawat berlepas.
Namun, ramai juga yang marah dengan keputusan Garuda Indonesia untuk mengarahkan anak kapalnya supaya berhenti memakai pelitup dan mempersoalkan keutamaan syarikat penerbangan itu.
"Penumpang Garuda yang tidak suka pramugari memakai pelitup itu mungkin lelaki tua," sindir seorang pengguna Twitter.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.