Prabowo terkejut 'tindakan keterlaluan polis'; gesa siasatan susuli kematian penunggang motosikal Gojek
Petikan skrin video yang sedang tersebar online menunjukkan sebuah kenderaan taktikal Briged Mobil Polis Indonesia melanggar seorang penunggang motosikal penghantaran semasa bantahan di Jakarta pada 28 Ogos 2025. (Gambar: X/@ombiawak)
Presiden Prabowo juga berkata beliau “terkejut dan kecewa dengan tindakan keterlaluan” pasukan polis.
Dalam kenyataannya melalui video pada Jumaat (29 Ogos), Encik Prabowo berkata beliau “berdukacita dan prihatin” dengan kematian penunggang motosikal Gojek, Affan Kurniawan, 21 tahun, dan mengucapkan takziah.
Pemerintah akan “menjamin kelangsungan hidup keluarganya,” kata Encik Prabowo, sambil menggesa orang ramai supaya bertenang dan meletakkan keyakinan terhadap pemerintahnya.
“Kami memohon maaf yang mendalam kepada mangsa, keluarganya dan masyarakat online penunggang motosikal khidmat penghantaran,” kata ketua polis negara Indonesia, Listyo Sigit Prabowo, kepada media pada awal pagi Jumaat selepas memberi penghormatan kepada Affan dan keluarganya.
“Saya sangat menyesal dengan apa yang berlaku,” katanya semasa sidang media di hospital, di mana Affan dibawa selepas dilanggar.
Affan dilaporkan tidak terlibat dalam bantahan itu, dan pada ketika itu, sedang membuat penghantaran.
Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri, turut memohon maaf dan berjanji akan memastikan kebertanggungjawaban penuh, termasuk tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat, ketika bercakap dengan media beberapa jam sebelum Encik Listyo.
Divisi Profesi dan Pengamanan Kepolisian Negara Republik Indonesia (Propam) sudah menahan tujuh anggota dari Briged Mobil (Brimob) Polis Wilayah Metro Jaya Jakarta berhubung insiden itu.
Mereka kini sedang disoal siasat, kata ketua Propam Abdul Karim, yang menekankan siasatan telus dengan pelibatan badan pemantauan luar untuk memastikan kebertanggungjawaban.
Insiden tersebut berlaku sekitar pukul 7.25 malam pada Khamis di kawasan Pejompongan di tengah Jakarta, berhampiran bangunan parlimen di mana beberapa tunjuk perasaan diadakan minggu ini.
Tunjuk perasaan pada Khamis (28 Ogos) diketuai oleh kesatuan sekerja yang menuntut kenaikan gaji, penghapusan pemberhentian pekerja dan langkah antirasuah yang lebih tegas.
Enam tuntutan mereka termasuk semakan Undang-Undang Penciptaan Kerja 2020, penghapusan amalan mendapatkan khidmat luar (outsourcing), kenaikan gaji minimum dan pengurangan cukai.
Menurut laporan Kompas, kumpulan kesatuan sekerja sudah beredar pada waktu petang, tetapi bantahan oleh kumpulan pelajar dari beberapa universiti di Jakarta masih diteruskan.
Dalam video yang tular, sebuah kenderaan taktikal Brimob dilihat memecut ke arah kumpulan penunjuk perasaan.
Affan yang memakai jaket penunggang motosikal berwarna hijau dilihat terjatuh di jalan raya dan kemudian dilanggar oleh kenderaan berperisai itu.
Kenderaan tersebut tidak berhenti walaupun orang ramai melemparkan objek ke arahnya.
“Seorang penunggang motosikal jatuh dan dilanggar, tetapi kenderaan tidak berhenti dan terus bergerak sehingga melanggar mangsa,” kata seorang saksi bernama Kevin kepada Kompas pada Khamis (28 Ogos).
Menurut media tempatan Warta Kota, Affan dihantar ke Hospital Cipto Mangunkusumo di tengah Jakarta, namun meninggal dunia akibat kecederaannya.
Saksi berkata Affan sedang dalam perjalanan menghantar pesanan ke kawasan Bendungan Hilir di tengah Jakarta.
Andi Kristiyanto, pengerusi Presidium Koalisi Ojol Nasional, berkata Affan mungkin tergelincir ketika cuba menyeberang jalan.
Penunggang motosikal khidmat penghantaran ini dikenali sebagai “ojol” di Indonesia.
“Ketika dilanggar, kenderaan itu sepatutnya mengundur tetapi tidak berbuat demikian. Mungkin kerana orang ramai juga bergerak ke arah kenderaan itu, jadi ia terus bergerak,” kata Andi kepada Kompas.
Syarikat teknologi GoTo, hasil gabungan Gojek dan Tokopedia, mengesahkan Affan adalah rakan-penunggang motosikal Gojek dalam satu kenyataan pada Jumaat, lapor CNBC Indonesia.
Insiden itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan penunggang motosikal khidmat penghantaran, dengan beberapa dilaporkan mengejar kenderaan tersebut ke ibu pejabat Brimob di Kwitang bagi menuntut kebertanggungjawaban polis.
Tanda pagar #polisipembunuh menjadi 'trending' di platform media sosial X pada Jumaat.
Para pelajar berikrar akan membantah keganasan polis di ibu pejabat polis Jakarta pada Jumaat (29 Ogos).
Muzammil Ihsan, ketua kesatuan pelajar terbesar Indonesia, memberitahu Reuters bahawa beliau menjangkakan kumpulan pelajar lain turut hadir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.