Skip to main content

Dunia

Prabowo seru rakyat Indonesia kukuhkan perpaduan, bina masa depan lebih baik

Umat Islam di Indonesia menyambut Hari Raya Aidilftri bersama keluarga serta rakan dan taulan pada Isnin (31 Mac) dalam suasana gembira serta penuh harapan di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto.

Anggaran Waktu Membaca:
Prabowo seru rakyat Indonesia kukuhkan perpaduan, bina masa depan lebih baik

Presiden Prabowo Subianto, Naib Preiden Gibran Rakabuming Raka dan para anggota Kabinet menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Istiqlal. (Gambar: Facebook/Prabowo Subianto)

JAKARTA: Umat Islam di Indonesia menyambut Hari Raya Aidilftri bersama keluarga serta rakan dan taulan pada Isnin (31 Mac) dalam suasana gembira serta penuh harapan di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto.

Perayaan tahun ini turut disambut dengan penuh kesederhanaan, mencerminkan nilai yang digalakkan Encik Prabowo sejak beliau memegang jawatan sebagai presiden kelapan.

Dilantik sebagai presiden pada 21 Oktober tahun lalu, beliau komited untuk memupuk perpaduan sosial, mengatasi cabaran sosioekonomi dan mengeratkan hubungan masyarakat.

Encik Prabowo menyarankan agar rakyat Indonesia memperkukuhkan perpaduan dan bekerja ke arah masa depan yang lebih baik dan sejahtera dalam perutusan Aidilfitri pertamanya.

"Saya mengajak seluruh rakyat Indonesia di mana pun berada untuk menjadikan Hari Raya Aidilfitri ini sebagai kekuatan dalam memperkukuh perpaduan bangsa, memperkuat solidariti sosial dan membangun masa depan yang lebih adil, makmur dan beretika," kata beliau.

Selain itu, Presiden Prabowo turut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada umat Islam di Indonesia dan seluruh dunia, sambil menekankan kepentingan perayaan tersebut selepas sebulan berpuasa.

"Aidilfitri adalah waktu untuk saling memaafkan, mengeratkan hubungan dan meneguhkan kembali komitmen untuk menjadi lebih baik, sabar dan peduli terhadap masyarakat," kata Encik Prabowo, sebelum mengakhiri perutusan dengan permohonan maaf kepada semua.

Pada pagi Isnin (31 Mac), Encik Prabowo bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka dan para anggota Kabinetnya menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Istiqlal, yang terletak di Jakarta.

Beliau kemudian meraikan masyarakat umum, diplomat asing serta orang kenamaan di majlis rumah terbuka di Istana Merdeka dari pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, yang menjadi simbol memperkukuh hubugan erat antara pemimpin dan rakyat.

Sementara itu, sekitar 200 rakyat Malaysia di Indonesia, yang terdiri daripada ekspatriat dan petugas kedutaan, menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri sebelum menikmati jamuan di dewan pelbagai guna di kompleks kedutaan terletak di bahagian selatan Jakarta.

Turut hadir Duta Besar ke Indonesia, Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Sarah Al Bakri Devadason.

Mereka dijamu dengan nasi beriani, lemang, sate, teh tarik serta juadah lain oleh pihak kedutaan dan para petugasnya.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita