Skip to main content

Dunia

Prabowo sambut ketibaan 2026 bersama mangsa banjir di Aceh

Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyambut ketibaan tahun 2026 pada Rabu (31 Dis) bersama penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan tanah runtuh di Aceh, menurut Ketua Pejabat Staf Presiden (KSP) Muhammad Qodari, lapor agensi berita ANTARA.
Anggaran Waktu Membaca:
Prabowo sambut ketibaan 2026 bersama mangsa banjir di Aceh
Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyambut kedatangan tahun 2026 bersama mangsa banjir dan tanah runtuh di Aceh. (Gambar: Bernama)
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyambut ketibaan tahun 2026 pada Rabu (31 Dis) bersama penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan tanah runtuh di Aceh, menurut Ketua Pejabat Staf Presiden (KSP) Muhammad Qodari, lapor agensi berita ANTARA.

"Presiden akan melawat Aceh dan, insya-Allah, meluangkan masa pada malam ambang tahun baharu bersama rakyat di sana," kata Encik Qodari selepas bertemu Presiden Prabowo di Istana Presiden di Jakarta pada Selasa lalu.

Encik Qodari bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci agenda Presiden Prabowo di Aceh, namun mengesahkan bahawa Daerah Bener Meriah akan menjadi antara destinasi yang dilawati beliau.

Dalam pada itu, Encik Qodari berkata usaha pemulihan bencana di beberapa wilayah tidak akan menjejaskan pelaksanaan program keutamaan Presiden Prabowo pada 2026, sekalipun pemerintah sudah mengambil langkah penjimatan belanjawan.

Beliau berkata pemerintah sudah memanfaatkan sumber pembiayaan lain, terutamanya daripada aktiviti penguatkuasaan undang-undang, untuk membiayai program-program keutamaan tersebut.

"Kami boleh menggunakan dana yang diperoleh daripada pengurusan ladang sawit, usaha antipenyeludupan serta sektor pelombongan," kata Encik Qodari.

Menurut Encik Qodari, langkah-langkah itu bertujuan untuk mengekalkan kemampanan kewangan program keutamaan meskipun terdapat keperluan untuk membiayai usaha bantuan bencana.

Banjir besar dan tanah runtuh melanda Aceh, Sumatra Utara dan Sumatra Barat pada akhir November 2025 menyusuli hujan lebat.

Data daripada Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) menunjukkan bahawa setakat 31 Disember 2025, angka korban akibat bencana di ketiga-tiga wilayah berkenaan mencecah 1,141 orang, termasuk 514 kematian di Aceh.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita