Skip to main content

Dunia

Prabowo mulakan rangka lawatan diplomatik ke 4 negara

Anggaran Waktu Membaca:
Prabowo mulakan rangka lawatan diplomatik ke 4 negara

Presiden Prabowo tiba di Jepun pada Sabtu (20 Sep). (Gambar: Prabowo Subianto/Facebook)

Diterbitkan : 20 Sep 2025 02:39PM Dikemas Kini : 20 Sep 2025 02:40PM

JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto memulakan lawatan diplomatik ke beberapa negara, bermula dengan persinggahan di Osaka, Jepun, sebelum menuju ke New York bagi menghadiri sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Beliau tiba di Osaka pada pagi Sabtu (20 Sep), diiringi Menteri Luar Sugiono dan Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya selepas bertolak dari Jakarta pada malam sebelumnya, menurut kenyataan Sekretariat Presiden.

Semasa persinggahan itu, Presiden Prabowo dijadual melawat Pavilion Indonesia di Ekspo Dunia 2025 di Osaka.

Acara global yang disertai 158 negara itu mempamerkan inovasi, kemampanan dan kerjasama antarabangsa.

Presiden Prabowo seterusnya akan berangkat ke New York dan dijadual menyampaikan ucapan negara di Perbahasan Umum UNGA pada 23 Sept, selepas ucapan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Menurut Encik Teddy, penyertaan Prabowo mencerminkan tekad Indonesia untuk memperkukuh profil diplomatiknya.

“Perhimpunan Agung tahun ini adalah detik penting bagi Indonesia, bukan sahaja untuk tampil pada peringkat tertinggi forum PBB, tetapi juga menegaskan kembali kedudukan Indonesia sebagai pemimpin Global South yang konsisten memperjuangkan tatanan dunia lebih adil dan inklusif,” katanya.

Bercakap pada satu acara sempena pelantikannya sebagai jurucakap Kementerian Luar Rabu lalu (17 Sep), Yvonne Mewengkang mengesahkan isu Palestin akan menjadi antara topik utama yang dibangkitkan oleh Prabowo, manakala isu-isu lain masih dimuktamadkan.

Selepas New York, Presiden Prabowo akan meneruskan perjalanan ke Ottawa pada Rabu depan (24 Sep) untuk mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Kanada Mark Carney, diikuti lawatan ke The Hague pada 26 Sept bagi bertemu Raja Belanda Willem-Alexander dan Perdana Menteri sementara Dick Schoof.

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita