Prabowo larang Gerindra gembar-gembur penggal kedua jadi presiden; mahu tunaikan janji terlebih dahulu
Menjawab gesaan yang mengusulkan supaya beliau bertanding bagi penggal kedua sebagai presiden hampir lapan bulan selepas menyandang jawatan tersebut, Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata beliau akan bertanding untuk mempertahankan jawatan itu hanya jika beliau mencapai matlamat yang ditetapkan dalam penggal pertamanya.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto bercakap kepada para kader partai Gerindra semasa kongres nasional sayap belianya, Tunas Indonesia Raya (TIDAR), di Jakarta pada 17 Mei 2025. (Gambar: Instagram/@tidar.pp)
Encik Prabowo, 73 tahun, membuat kenyataan itu pada Sabtu (17 Mei) semasa berucap kepada para kader partai Gerindra semasa kongres nasional sayap belianya, Tunas Indonesia Raya (TIDAR), di Jakarta, sedang para wakil menyuarakan sokongan mereka untuk Encik Prabowo bertanding bagi penggal kedua.
"Tadi terima kasih, ada yang sebut Prabowo dua periode (penggal). Saya kira, saya mahu koreksi (memperbetulkannya). Kader-kadernya muda, saya mahu koreksi saudara-saudara. Please, tolong jangan sebut seperti itu. Kita belum satu tahun menjalankan amanah," kata Encik Prabowo di Hotel Borobudur, seperti yang dipetik oleh akhbar tempatan Jakarta Globe.
Menurut media tempatan, kenyataan Encik Prabowo itu dikeluarkan di tengah-tengah khabar angin yang semakin bertiup kencang mengenai Pilihan Raya Presiden 2029 (Pilpres 2029).
Encik Prabowo, mantan menteri pertahanan, memenangi Pilihan Raya Presiden pada Februari lalu, iaitu percubaan ketiganya untuk menyandang jawatan tersebut, dan pelantikannya dirasmikan pada Oktober lalu.
Beliau mengulangi bahawa memenuhi janji dan ikrar semasa berkempen adalah keutamaannya.
"Niat itu silakan disimpan dalam hati. Tetapi, saya sudah katakan, nanti yang menentukan apakah Prabowo dua periode (penggal) atau tidak, selain Yang Maha Kuasa, Prabowo sendiri. Kalau saya menilai bahawa diri saya tidak mencapai apa yang saya canangkan, saya tidak mahu maju lagi sebagai Presiden RI (Republik Indonesia)," ujar Prabowo.
Beliau telah menetapkan sasaran yang tinggi untuk mencapai pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 8 peratus menjelang akhir penggal pertamanya, meningkat daripada kadar semasa iaitu kira-kira 5 peratus.
Langkah-langkah yang diambil oleh pemerintah pimpinannya untuk menyokong matlamat ini termasuk pelancaran dana kekayaan negara Danantara.
Beliau juga telah memotong belanjawan negara sebanyak kira-kira AS$44 bilion, dilaporkan untuk menyalurkan sebahagian daripada penjimatan itu kepada inisiatif makanan berkhasiat yang ditawarkan secara percum.
Pada Sabtu lalu, Encik Prabowo turut berikrar bahawa tindakan tegas antirasuah pemerintahnya akan diteruskan, walaupun pegawai penguat kuasa undang-undang menghadapi ugutan semasa menyiasat kes rasuah.
"Saya telah menerima beberapa aduan. Ada yang meminta orang datang ke rumah mereka, kereta mereka diekori, malah bergambar... Tetapi biar saya jelaskan: Kami tidak akan berundur. Saya tidak akan berundur."
Beliau mendakwa ratusan trilion rupiah aset negara telah diperoleh semula dalam tempoh enam bulan pertama tempoh perkhidmatannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.